Langkah segera pastikan jerebu tak berulang


PUTRAJAYA - Tindakan segera pihak berkuasa Indonesia memadam kebakaran hutan sebelum merebak berjaya menangani masalah jerebu rentas sempadan daripada berulang pada tahun ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Selain itu, taburan hujan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia turut mencegah kebakaran hutan, katanya.

Beliau berkata, Presiden Indonesia, Joko Widodo serta Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Dr Siti Nurbaya Baka telah berjanji kepada Perdana Menteri,‎ Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau baru-baru ini berhubung usaha mereka menangani kebakaran hutan dan jerebu.

"Indonesia telah berpegang kepada janjinya. Harap keadaan ini berterusan sehingga Oktober apabila angin bertukar (dari Barat Daya kepada Timur Laut).

Sebulan saja lagi, diharapkan keadaan tidak bertambah buruk," katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 12 kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana dan 35 kawasan baik sehingga 1 tengah hari ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, berbahaya.

Pada tahun lepas, kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan jerebu rentas sempadan yang serius melanda negara ini. Jerebu yang dibawa angin Monsun Barat Daya itu memburukkan keadaan di negara ini.

Mengenai anak panda betina Nuan Nuan, Wan Junaidi berkata pihak kementerian dan Zoo Negara belum mengadakan perbincangan untuk melanjutkan tempoh penyimpanan anak pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China, selepas tahun depan.

"Kos pengendalian mungkin tinggi dan tidak berbaloi dari sudut pulangan daripada lawatan pengunjung. Kalau mereka (Zoo Negara) fikir tidak berkemampuan mengendalikan panda, mereka perlu approach dan bincang dengan kita.

"Ia juga simbol jalinan hubungan diplomatik Malaysia dan China dan pihak Zoo Negara tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan. Ia harus dibincang dengan kita. Saya pun tidak akan membuat keputusan (sama ada melanjutkan tempoh atau tidak) sehingga Kabinet membuat keputusan," katanya.

Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Datuk Seri Zaharin Md Arif pada 23 Ogos berkata, Zoo Negara tidak merancang melanjutkan tempoh penyimpan Nuan Nuan selepas tahun depan berikutan kos tinggi perlu ditanggung jika dilanjutkan tempoh dua tahun yang ditetapkan dalam perjanjian Malaysia dan China.

Menurut perjanjian The Giant Panda Protection and Research Programme yang ditandatangani pada 22 Jun 2013, Malaysia perlu membayar USD600,000 kepada China Wildlife Conservation Association (CWCA) secara sekali bayar atas anak panda itu. Ini tidak termasuk premium insurans tahunan bernilai RM200,000.

Pasangan panda gergasi itu, yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi, tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Pasangan panda gergasi itu akan terus menetap di sini selama 10 tahun mengikut perjanjian antara Malaysia dan China.

Nuan Nuan dilahirkan pada 18 Ogos tahun lepas di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara dan kini berat badannya mencecah 31 kilogram. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA