Lahir Lebih Ramai Pendakwah Generasi Muda


MIRI: Penglibatan belia Islam dalam nasyid antara cara awal melahirkan lebih ramai golongan pendakwah dalam kalangan generasi muda Islam di Sarawak.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi mahu aktiviti pertandingan nasyid terus dikembang di setiap kawasan termasuk sekolah dan tadika agar lebih banyak kumpulan nasyid yang menjadi contoh dan ikutan generasi muda dapat dibentuk.

“Penyanyi nasyid boleh menjadi contoh kepada anak muda lain kerana mempunyai keistimewaan dan kebolehan dari segi menyampaikan dakwah dengan bahasa lembut mengajak ke arah menghayati agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Nasyid Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Miri malam kelmarin (Sabtu).

Selain cara berdakwah, katanya penganjuran pertandingan berkenaan berjaya mengetengahkan bakat nyanyian, penulisan lagu dan lirik dalam kalangan peserta termasuk persembahan pentas dan rekaan pakaian.

Beliau berbangga dengan inisiatif Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak menjadikan festival nasyid sebagai acara tahunan selain memastikan penganjuran yang besar dan lebih baik setiap tahun.

Peranan aktif mereka berjaya memastikan generasi muda Islam dijaga dengan sebaiknya.

Dr Abdul Rahman percaya, penganjuran nasyid, hadrah dan marhaban serta aktiviti sihat lain, berupaya membentuk sikap positif dalam kalangan pelajar dan belia.

Keperibadian baik akan melahirkan golongan anak muda Islam yang berdisiplin, mempunyai jati diri yang tinggi, daya saing, berketrampilan dan anak-anak muda dibangga sepanjang masa.

“Kita mahu aktiviti melibatkan masyarakat Islam akan diteruskan. Kerajaan akan melaksana program untuk kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.

Mengulas lanjut peranan belia, Dr Abdul Rahman berkata, selain menjadi golongan dibanggakan keluarga dan masyarakat, mereka turut memikul tanggungjawab tambahan iaitu penasihat rakan sebaya.

“Ini kerana ada segilintir kawan-kawan kita terumbang-ambing, terhuyung-hayang kerana belum ada hala tuju kehidupan yang baik.

“Jadi tugas kita sebagai rakan sebaya atau kawan sekampung ialah mengajak kawan kita ke arah kehidupan lebih baik,” jelasnya.

Dengan teguran dan ajakan dalam aktiviti menyihatkan yang boleh mengasah bakat dan kemahiran mereka sekali gus mengelak mereka daripada terus terjerumus lebih jauh dalam kancah sosial.

Menurut Dr Abdul Rahman Junaidi, kehidupan masyarakat akan datang akan selamat dan sejahtera sekiranya kita memiliki generasi muda hari ini yang berkebolehan, berdisiplin dan berperibadi positif. - TheBorneo Post

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA