Lagi Kes Pedofilia Di Sarawak

Foto Berita Harian
SRI AMAN: Polis Sarawak sedang memburu seorang lelaki berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan yang dilarikan selama empat hari sebelum diselamatkan malam semalam.

Berasal dari Kampung Abok, Pantu, mangsa ditemui ditinggalkan bersendirian di sebuah rumah di Kampung San Raba, Undop, di sini oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis.

Difahamkan, kanak-kanak malang itu tiada kecederaan fizikal, namun berada dalam keadaan trauma ketika ditemui, dipercayai menjadi mangsa jenayah seksual.

Sumber memberitahu BH, mangsa kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman sebelum ibu bapanya dimaklumkan mengenai penemuan itu, seterusnya dipanggil bagi membantu siasatan.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, mangsa dibawa oleh suspek menaiki sebuah motosikal menuju ke Serian dari rumahnya di Kampung Abok, Pantu pada petang Ahad lalu.

"Di Serian, suspek mengisi minyak motosikal sebelum meneruskan perjalanan ke Engkelili dan bermalam di situ. Keesokannya (Isnin), suspek membawa mangsa ke sebuah rumah di Kampung San Raba sebelum ditinggalkan di situ kira-kira jam 2 petang.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, mangsa terpaksa bermalam berseorangan di rumah berkenaan sebelum diselamatkan polis bertindak atas maklumat awam," katanya.

Katanya, dalam siasatan awal dijalankan, kanak-kanak malang itu mengakui suspek ada 'mengusiknya' sepanjang tempoh dilarikan, sekali gus memberikan kesan trauma terhadap mangsa.

Bertindak atas maklumat itu, mangsa dihantar je Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar ketika dihubungi petang tadi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan.

"Kita sedang mengesan si pelaku yang dipercayai sedang bersembunyi sejurus menyedari dirinya sedang diburu," katanya.

Ini kejadian keempat membabitkan kes kanak-kanak perempuan dilarikan, seterusnya dicabul dan dirogol yang dilaporkan di seluruh negeri dalam tempoh sebulan.

Dalam kebanyakan kes dilaporkan, si pelaku membabitkan individu dikenali mangsa, malah ada kes membabitkan suspek yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kanak-kanak terbabit.

Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansur pada 'Majlis Hi-Tea IPK Sarawak Bersama Media' sebelum ini menyatakan pihaknya memberi tumpuan kepada usaha mengekang penularan jenayah pedofilia di negeri ini.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak agar mempertingkatkan kecekapan proses siasatan kes berkaitan bagi membendung jenayah itu. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA