Kumpulan Samun Berparang Diburu


ALOR SETAR: Polis percaya sekumpulan penjenayah bermotosikal bersenjatakan parang yang semakin aktif di negeri ini sejak minggu lalu adalah kumpulan sama yang diburu di Pulau Pinang, sebelum ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, berkata kumpulan terbabit dianggotai antara empat hingga lima lelaki berusia 20-an yang menyasarkan kawasan perumahan di bandar pada waktu kerja.

Katanya, semua suspek dipercayai bukan penduduk tempatan berpindah ke negeri ini selepas kegiatan mereka diketahui polis negeri lain.

"Buat masa sekarang, kita merekodkan sebanyak lima laporan berhubung kes samun berparang membabitkan tiga kes di Alor Setar dan dua kes di Pendang.

"Modus operandi kumpulan suspek adalah dengan menyasarkan suri rumah yang bersendirian ketika suami serta anak-anak tiada di rumah pada waktu pagi," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja Ketua Polis negeri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, hari ini.

Minggu lalu, beberapa kejadian samun berparang menjadi perhatian dalam laman sosial apabila beberapa suri rumah disamun sekumpulan penjenayah yang menaiki dua buah motosikal di sekitar negeri ini.

Kumpulan terbabit dikesan terbabit beberapa kejadian samun di Bukit Mertajam, Butterworth dan Simpang Ampat, Pulau Pinang sejak awal tahun ini, sebelum menghilangkan diri apabila polis mempergiatkan usaha memburu mereka.

Zamri berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa tidak dicederakan melainkan mengalami trauma akibat diacu parang.

"Ini berdasarkan tiada sebarang laporan membabitkan mangsa yang cedera manakala mangsa hanya trauma kerana leher diacu parang ketika barang berharga mereka disamun," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA