Kuching Bakal Miliki Mercu Tanda Perpaduan Baharu


KUCHING: Selepas Kuching diisytihar sebagai 'Bandar Perpaduan' oleh Yayasan 1Malaysia tahun lepas, bandar raya ini bakal memiliki mercu tanda baharu dengan kewujudan taman perpaduan yang memaparkan budaya dan adat resam masyarakat berbilang kaum.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai bagaimanapun berkata, usaha untuk menjadikan taman budaya yang berkeluasan 32 ekar ketika ini sebagai taman perpaduan mungkin memakan masa sekitar lima tahun kerana banyak aspek perlu diberi perhatian.

Malah menurutnya, buat masa ini Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek tersebut perlu mendapatkan input daripada pelbagai pihak terutama masyarakat berbilang bangsa.

"Taman ini (taman perpaduan) akan menjadi identiti bandar raya Kuching yang diisytihar sebagai bandar raya perpaduan. Kita mahu tunjukkan perpaduan yang tersemai dalam bentuk fizikal.

"Namun usaha kita ini memerlukan kerjasama banyak pihak dan langkah pertama kita adalah mengadakan bengkel dengan menghimpunkan wakil persatuan pelbagai kaum untuk mendapatkan maklumbalas," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Taman Perpaduan di sini, hari ini.

Abang Wahap menjelaskan, kewujudan taman perpaduan itu juga akan menggalakkan warga kota untuk meluangkan lebih masa di tempat terbuka dan menjalani gaya hidup sihat.

Beliau menambah, DBKU akan mengemukakan pelan induk taman perpaduan kepada kerajaan negeri pada awal tahun depan.

Pemilihan taman budaya sebagai taman perpaduan katanya disebabkan taman tersebut mempunyai sejarah tersendiri dan telah diwujudkan sejak 1886.

Selain keluasan 32 ekar taman budaya, jelasnya, pihaknya berhasrat untuk mendapatkan kawasan seiuas 14 ekar di kawasan berhampiran untuk pembinaan kemudahan taman perpaduan. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA