Kontinjen Paralimpiad Sarawak Sasar 80 Pingat Emas


Kuching : Kontinjen Sarawak mensasarkan 80 pingat emas pada Sukan Paralimpiad Malaysia ke-18 yang akan berlangsung selama lima hari pada 6-10 Ogos 2016 bertempat di Sarawak.

Menteri Muda Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Dr Abdul Rahman Ismail sebagai Chief De'Mission (CDM) Kontinjen Sarawak berkata, selaku tuan rumah pada tahun ini kontinjen Sarawak akan menyertai kesemua sembilan acara sukan yang dipertandingkan dengan jumlah penyertaan seramai 201 orang atlet.

"Antara sukan yang dipertandingkan adalah catur, olahraga, renang, powerlifting, badminton, ping pong, boling ten pin dan dua acara baharu iaitu memanah dan boling padang,"

"Pencapaian para atlet negeri dalam semua acara sukan dipertandingkan telah meningkat dengan begitu ketara sekali sehingga kontinjen kita berjaya menjuarai Sukan Paralimpiad Malaysia selama 11 kali berturut-turut iaitu dari tahun 1994 sehingga 2014 di Perlis,"

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak Sempena Sukan Paralimpiad ke-18 Sarawak 2016 yang dirasmikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Hajah Fatimah Abdullah di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Kuching hari ini.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Hajah Fatimah Abdullah dalam ucapannya berkata, penyertaan golongan kurang upaya (OKU) dalam bidang sukan bukan sahaja untuk aktiviti riadah dan kesihatan tetapi untuk membuktikan mereka juga mampu menjadi yang terbaik seperti atlet-atlet normal.

"Kurang upaya tidak menghalang mereka untuk membuktikan kepada rakan-rakan, keluarga, negeri dan negara malah dengan adanya kepercayaan, mereka akan mengalahkan pesaing sesama mereka bagi membuktikan mereka boleh melakukannya dan menjadi yang terbaik di Malaysia mahupun dunia," katanya

Sukan Paralimpiad pada kali ini akan membabitkan seramai 1405 atlet OKU daripada kategori kurang keupayaan anggota, penglihatan, akal dan spastik.

Jumlah penyertaan bagi kontijen Sarawak adalah seramai 277 orang terdiri daripada tiga orang Assistant Chief De'Mission (ACDM) iaitu Abang Shamsudin Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Abdul Haris, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak dan Rokayah Madon, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bersama 30 orang jurulatih dan penolong jurulatih, 11 orang pengurus dan penolong pengurus, 11 orang urusetia kontinjen dan penolong urusetia, 18 orang pengiring, 6 orang guide runner dan 201 orang atlet.

Selain Sukan Paralimpiad, pertandingan sukan yang lain seperti Special Olympic Malaysia (SOM) yang telah diadakan pada 16-20 Mei yang lalu di Kuala Lumpur manakala Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) akan diadakan pada 2-6 Oktober 2016. - Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA