Kontinjen Paralimpiad Sarawak Lebih Mantap Kali Ini


KUCHING: Belajar daripada kesilapan Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-17 di Perlis dua tahun lepas, kontinjen Sarawak pada kali ini terlebih bersedia termasuk mengklasifikasikan atlet agar tiada di kalangan mereka dibatalkan penyertaan.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah berkata, guru dan jurulatih telah diberi pendedahan mengklasifikasikan atlet berdasarkan acara sukan yang bersesuaian.

Menurutnya, sekiranya perkara tersebut tidak diberi perhatian, mungkin ada antara atlet tidak dapat bertanding dan pada masa sama memberi kesan kepada emosi mereka.

"Kita tidak mahu apabila tiba masa bertanding, ada antara atlet dibatalkan penyertaan disebabkan kegagalan mengklasifikan jenis sukan yang patut disertai terlebih dahulu," katanya berucap merasmikan Simposium Sempena Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-18 Sarawak 2016 hari ini.

Menurutnya lagi, atlet Sarawak juga diingat supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan muncul juara keseluruhan Sukan Paralimpiad Malaysia.

"Memang kita muncul juara sebanyak 11 kali namun kontinjen negeri lain juga berusaha sedaya upaya untuk mengalahkan kita.

"Janganlah kita terlalu selesa dan terus bangunkan bakat baharu untuk menjadi juara," ujarnya.

Dalam masa sama, Fatimah mengajak seluruh rakyat negeri ini agar turun ke venue acara Sukan Paralimpiad untuk memberi sokongan kepada atlet bertanding.

"Beri sokongan kepada mereka untuk meningkatkan semangat juang mereka," jelasnya. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA