Ketepikan Sebarang Perbezaan, Rakyat Perlu Bersama Mengisi Erti Kemerdekaan - Ahmad Zahid


PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat bersama-sama mengisi erti kemerdekaan dengan mengetepikan perbezaan politik dalam menzahirkan semangat cintakan negara.

Dalam amanatnya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 esok, beliau berkata sebagai bangsa Malaysia, setiap anggota masyarakat perlu mempunyai tanggapan bahawa kemerdekaan negara adalah milik semua.

"Usaha mengisi kemerdekaan perlu dianggap satu kebertanggungjawaban atau kepentingan yang perlu dipikul seluruh rakyat, bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata," katanya.

Ahmad Zahid menyampaikan amanat tersebut kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Koodinator Maritim Indonesia Luhut Binsar Panjaitan, yang juga Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral, di pejabatnya di sini.

Beliau berkata kesepaduan dalam kalangan rakyat dalam menentukan, menjaga dan mempertahankan kemerdekaan adalah satu amanah yang perlu dipikul seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam amanatnya berkata rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana hari ini negara tidak lagi dijajah dan rakyat juga berupaya dan mempunyai hak dalam menentukan pentadbiran negara sendiri.

Namun, katanya, jika tidak berhati-hati dan masih bertelagah sesama sendiri, kesejahteraan dan kebebasan yang sedang dinikmati pada hari ini tidak akan dapat bertahan lama.

"Seiring dengan keharmonian dan keamanan yang telah dinikmati pada hari ini, ia akan mewujudkan suatu suasana di mana ia akan memberi peluang kepada pemimpin kita untuk terus berjuang dalam membangunkan negara," katanya dalam satu kenyataan Selasa. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA