Ketepi perasaan gemuruh berdepan regu China

BEREGU lelaki utama negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong perlu ketepikan perasaaan gemuruh, serta perlu pandai menyerap tekanan apabila berdepan pencabar mereka, Zhang Nan dan Fu Haifeng dari China pada pertandingan akhir beregu lelaki Sukan Olimpik Rio di Brazil Jumaat ini.

Bapa V Shem, Ricky Goh, 57, berkata adalah penting untuk anaknya serta Wee Kiong mengurangkan kesilapan mudah bagi memastikan mereka dapat mencipta sejarah meraih pingat emas pada kejohanan itu.

"Saya mahu mereka berikan persembahan terbaik dan jangan tertekan untuk terburu-buru catat kemenangan. Yang penting fokus kepada permainan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka mempunyai peluang untuk menang pingat emas jika mereka kurangkan kesilapan mudah yang mereka lakukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Goh yang bangga dengan kejayaan pasangan tersebut mara ke peringkat akhir, turut mengingatkan anaknya dan Tan supaya tidak memandang mudah kemampuan lawan yang kini berada pada ranking keempat dunia.

Untuk rekod, V Shem dan Wee Kiong pernah mengalahkan Zhang dan Fu pada aksi terakhir kumpulan B menerusi kemenangan 16-21, 21-15 dan 21-18 pada 13 Ogos lepas.

"Saya lihat pasangan China, yang bermain malam semalam melawan pasangan dari Great Britain menerusi televisyen, seolah-olah seperti menyimpan kekuatan sebenar mereka. Saya jangkakan mereka akan gunakan sepenuh tenaga mereka pada aksi final nanti," kata Goh.

V Shem dan Wee Kiong mara ke peringkat akhir selepas membuat kejutan mengalahkan pasangan China, Chai Biao dan Hong Wei yang berada pada ranking kelima dunia dengan keputusan 21-18, 12-21 dan 21-17 pada peringkat separuh akhir.

Sementara Zhang dan Fu pula menang straight set 21-14 dan 21-18 ke atas Marcus Ellis dan Chris Langridge dari Great Britain dalam aksi separuh akhir pada Selasa lepas.

Beregu negara yang berada pada ranking ke-12 dunia sebelum ini mengejutkan pasangan nombor satu dunia, Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan dengan mengalahkan mereka 17-21, 21-18 dan 21-18 pada pertandingan suku akhir Isnin lepas.

Pertandingan akhir beregu lelaki dijadual berlangsung pada Jumaat, 11.50 pagi waktu tempatan (Jumaat, 10.50 malam waktu Malaysia).

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara badminton pada Sukan Olimpik adalah menerusi pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang memenangi pingat perak pada dua edisi berturut-turut iaitu 2008 di Beijing, China dan 2012 di London, England setelah kalah kepada juara bertahan, Lin Dan dari China. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA