Ketatkan permit kerja boleh ubah dasar Petronas Sarawak

KUCHING: Pihak pembangkang mahu kerajaan negeri Sarawak menggunakan peraturan permit kerja untuk mengalih Petronas kepada pembangunan sumber hidrokarbon tempatan.

“Ini akan memastikan Sarawak boleh menggunakan sepenuhnya sumber aslinya untuk membangunkan peruntukan yang tidak bersandarkan kepada kerajaan persekutuan,” kata Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How dalam satu kenyataan.

Sebagai permulaan, kata Chee How, moratorium bagi permit kerja juga sepatutnya dilanjutkan kepada permit kerja sedia ada yang dipegang kakitangan Petronas.

Katanya, jika Petronas menghantar pegawai meminta Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem memberi lebih banyak permit kerja, beliau sepatutnya tidak membuat sebarang konsesi.

“Beliau patut mendesak kerajaan Malaysia bertemu kerajaan Sarawak bagi rundingan semula rancangan baharu untuk pembangunan bersama sumber tempatan.”

Selain itu katanya, pembatalan Akta Pemerintah Darurat dan Laut Wilayah 2012 bermakna Sarawak kini mempunyai kuasa penuh bagi semua sumber asli dalam kawasan sempadan wilayahnya.

“Kita boleh mendesak semua hak dan kelayakan milik kita.”

Chee How yang juga Adun Batu Lintang berkata rundingan semula dan rancangan baharu itu perlu membabitkan beberapa perkara.

Pertama, terma dan syarat tiga pihak Perjanjian Pembangunan Petroleum – “perjanjian minyak” – antara Sarawak dan kerajaan Malaysia dan Petronas perlu dilihat dan dirunding semula.

Kedua, kerajaan Sarawak patut memutuskan mengenai ekuiti dan penyertaan langsung oleh syarikat negeri dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSCs) bagi pembangunan dan pengeluaran minyak dan gas serta produk berkaitan dalam negeri itu.

Ketiga, kerajaan Sarawak perlu mempunyai ekuiti dalam PSCs sedia ada susulan pelanjutan tempohnya.

Keempat, syarikat milik negara di Sarawak sepatutnya menjadi rakan kongsi dalam PSCs sedia ada.

Kelima, Petronas secara serta-merta perlu membuka cawangan kampus Universiti Teknologi Petronas miliknya di Sarawak.

“Ini bagi memastikan orang Sarawak dapat memperoleh pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan pengalaman dalam kejuruteraan, sains dan teknologi berkaitan industri minyak dan gas,” katanya.

Petronas mendominasi eksploitasi dan pembangunan sumber hidrokarbon di Sarawak sejak lebih 40 tahun lalu. Kerajaan Sarawak hanya menerima sekadar 5% dalam royalti minyak berdasarkan kepada jumlah tong minyak yang dihasilkan setiap hari.

Tidak ada negeri yang mengeluarkan minyak di Malaysia mempunyai kepentingan dalam Petronas. Syarikat minyak negara itu dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA