Keselamatan Negara Keutamaan Sebenar Perjuangan



KOTA SAMARAHAN : Sebagai anggota tentera, perjuangan sebenar yang terdetik adalah untuk menjamin keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

Seorang pesara tentera Rani Seli, 56 tahun menyatakan, walaupun memasuki tentera pada tahun 1980 selepas merdeka, detik-detik cemas peperangan sudah dirasainya apabila diserang hendap oleh komunis ketika beliau beroperasi di Grik Perak.

"Sebagai komander kereta kebal, saya merasai bagaimana suasa perang sebenar berlaku,"

"Detik tersebut menjadi pengalaman yang begitu berharga bagaimana rasa sebagai seorang anggota tentera yang sanggup berdepan dengan situasi sukar demi keamanan negara tercinta," katanya ketika ditemubual Sarawakiana.

"Untuk anak muda yang ingin berkhidmat sebagai anggota tentera, mereka seharusnya menanam semangat perjuangan sebenar.

"Memang pendapatan hidup penting untuk meneruskan kehidupan namun jangan disebabkan itu semangat perjuangan menjadi luntur kerana pada masa kini terdapat kemudahan yang sepatutnya telah disediakan oleh kerajaan," ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa apabila Hari Kebangsaan tiba, generasi muda kini, tidak kira yang berada di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak seharusnya memiliki semangat patriotik untuk menghargai pengorbanan pejuang-pejuang negara yang telah menciptakan sebuah negara yang aman dan harmoni.

"Jangan mendengar hasutan pihak yang ingin memecah belahkan negara kerana Malaysia telah kukuh berdiri disebabkan pejuang yang sanggup berkorban demi tanahair ini.

"Terapkan nilai-nilai cintakan negara dalam jiwa anak muda supaya hasutan anasir-anasir yang hendak merobek keamanan ini dapat dicegah dengan mudah," jelasnya.

Rani turut berpesan agar anak muda menghargai kestabilan, keamanan dan keharmonian negara supaya keadaan sebegini kekal selama-lamanya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA