Kesalahan Jalan Raya; Antara Undang-Undang, Disiplin Dan Sikap


Di Malaysia, pelbagai usaha diambil oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan masalah di jalan raya. Ops Sikap, penguatkuasaan sistem AES, sekatan jalan raya dan banyak lagi sudah dilakukan oleh pihak berkuasa namun jumlah kes disiplin dan kemalangan jalan raya masih gagal ditangani dengan berkesan.

Bagi pemandu di Malaysia, insiden menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat, memandu perlahan di lorong kanan, kerosakan lampu brek ketiga dan memandu tanpa mematuhi had laju sudah menjadi lumrah. Nampak seperti masalah kecil namun tahukah anda berapa ramai yang telah terkorban akibat kemalangan yang berpunca darinya?

Dalam banyak-banyak masalah jalan raya yang berlaku di bandar, masalah meletakkan kenderaan secara berlapis sudah tidak asing lagi terutamanya di kawasan sekolah. Daripada jalan dua lorong, kiranya tiba waktu puncak, pasti yang tinggal hanya satu lorong untuk kenderaan lain bergerak.

Isu ini, jika dibincangkan dengan mendalam, pasti kita akan dapat mendengar berbagai pendapat dari ibu bapa, penjaga dan pengguna jalan raya yang lain. Jangan hairan kalau ada yang sentap secara berlebihan hingga boleh menimbulkan pergaduhan sekiranya perkara ini dibincangkan.

Trend pengubahsuaian kenderaan masa kini turut membawa banyak perubahan kepada dunia modifikasi kereta. Walaupun mereka sedar pengubahsuaian yang dilakukan melanggar undang-undang, ramai yang tetap meneruskannya. Bunyi ekzos yang bising, pengunaan lampu isyarat yang tidak mengikut kod warna banyak dilihat di jalan raya kita. Ada pula yang menggunakan lampu biru sebagai lampu isyarat berbanding kod warna lampu asal yang berwarna kuning (amber).

Berbicara tentang sekatan jalan raya, sering kali kita saksikan penindasan terhadap pengguna motosikal. Mana tidaknya, di setiap sekatan jalan raya, penunggang motosikal diwajibkan berhenti untuk dibuat pemeriksaan lesen sedangkan pengguna kereta tidak dikehendaki berbuat demikian. Paling kuat pun, kereta mereka hanya akan diperiksa status cukai jalan. Kemudian, mereka akan dibiarkan untuk terus memandu.

Kita sedia maklum, kebanyakan pengguna motosikal tergolong dalam golongan berpendapatan rendah. Dengan sedikit kesalahan dan jumlah saman yang dikenakan, pasti akan nenambah beban mereka. Tidak dapat juga kita nafikan kesalahan yang dilakukan oleh golongan muda yang gemar mengubahsuai motosikal mereka. Salah tetap salah. Selagi kita tidak melanggar undang-undang, tiada tindakan yang akan dikenakan.

Berbeza pula dengan golongan yang memandu kereta. Rata-rata mereka terdiri dari golongan berpendapatan sederhana. Saman mungkin cara terbaik untuk menyedarkan mereka.

Bagi memastikan disiplin pengguna jalan raya di negara kita berada pada kedudukan dan kesedaran terbaik, semua pihak harus bekerjasama memastikan undang-undang dipatuhi dan dikuatkuasakan secara tegas dan konsisten.

Sikap sambil lewa yang kita amalkan selama ini harus dikikis. Soal undang-undang dan keselamatan di jalan raya harus diambil serius. Sekiranya perkara ini dapat dijadikan budaya, pasti satu hari nanti jalan raya kita akan menjadi tempat yang lebih baik selaras dengan wawasan negara. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA