Kes Perogol Kahwini Mangsa Bawah Umur, Kementerian Buat Intervensi - Rohani


PUTRAJAYA : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membuat intervensi sebelum kelulusan diberikan kepada mana-mana individu yang didakwa atas kesalahan merogol daripada mengahwini mangsa bawah umur, kata Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Merujuk kepada kes seorang lelaki 22 tahun yang digugurkan daripada tuduhan rogol selepas mengahwini mangsanya yang berusia 14 tahun, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan satu jenayah yang harus dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

"Perkahwinan bagi gadis bawah umur 16 tahun perlu mendapat kebenaran daripada keluarga, Mahkamah Syariah dan Ketua Menteri atau Menteri Besar di sesebuah negeri.

Jadi kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat intervensi supaya perkahwinan seperti itu tidak diteruskan," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Semalam, Reuters melaporkan seorang lelaki yang melakukan rogol statutori terhadap remaja berumur 14 tahun di Sarawak pada tahun lepas, terlepas hukuman penjara selepas mengahwini mangsanya.

Tuduhan ke atas lelaki itu digugurkan selepas sijil perkahwinan dikemukakan dan gadis itu menarik balik aduan tersebut.

Rohani berkata pihak kementerian telah dimaklumkan bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) akan membuat semakan semula kes itu di mahkamah tinggi.

"Rogol tetap rogol, pesalah mesti menjalani hukuman jika sabit kesalahan, ia tidak boleh ditutup dengan perkahwinan," katanya.

Kementerian yang memegang amanah di bawah Akta Kanak-kanak mengambil berat hal itu mahu orang ramai mengetahui hak kanak-kanak, kata Rohani. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA