Kes Bunuh Bill Kayong, Polis Masih Berurusan Dengan Interpol


KUCHING: Polis masih berurusan dengan Interpol untuk mengesan suspek kes bunuh Setiausaha PKR Cawangan Miri Bill Kayong atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah bergelar 'Datuk' yang kini dipercayai berada di Australia, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata, buat masa ini polis masih menunggu pengesahan rasmi Interpol dan siasatan masih dijalankan.

"Kita (polis) masih berurusan dengan Interpol berhubung suspek yang masih bebas. Setakat ini kita masih belum menerima maklum balas daripada pihak mereka," katanya kepada pemberita selepas Hi-Tea PDRM Bersama Media di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia, Rob Smith mengenai lokasi supek terbabit sudah dikenalpasti, Mazlan menjelaskan, ia merupakan maklumat pesuruhjaya tinggi tersebut.

"Kita masih menunggu Interpol mengesahkan perkara ini kerana ia di bawah bidang kuasa mereka. Kita mengikut lunas peraturan Interpol," ujarnya.

Jumaat lepas, seorang daripada tiga suspek yang dikehendaki menyerah diri di Balai Polis Miri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak, SAC Dato' Dev Kumar dipetik sebagai berkata, lelaki berusia 50 tahun itu diiringi peguamnya ketika menyerah diri kira-kira 4.50 petang.

Terdahulu ketika berucap, Mazlan menjelaskan, kes jenayah di Sarawak menurun 12 peratus setakat 13 Ogos tahun ini berbanding tempoh sama 2015.

"Tahun ini sebanyak 4,070 kes jenyah direkodkan manakala 4,600 (kes jenayah) dalam tempoh sama tahun lepas," jelasnya. -Sarawakiana.





No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA