Kerosakan kabel punca gangguan perkhidmatan TM


KUCHING: Kerosakan kabel pada dua sistem adalah punca gangguan perkhidmatan Telekom Malaysia Berhad (TM) di beberapa kawasan di negeri ini.

Kerosakan pada Sistem Kabel Dasar Laut Domestik Malaysia (MDSCS) antara Miri dan Kuching dan Sistem Kabel Transborneo Daratan antara Lawas ke Kuching itu menjejaskan perkhidmatan UniFi, Streamyx, IPVPN, CDMA, LTE dan Global & Wholesale.

Antara kawasan terjejas termasuk Miri, Bintulu, Tanjung Kidurong, Lanang, Tatau, Lawas, Limbang, Mukah, Kapit, Kuala Baram, Taman Tunku, Lutong, Bintangor, Saratok, Serian, Kanowit, Dalat, Sibu, Sarikei dan Tanjung Manis.

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan semalam, TM kini sedang membuat taksiran tentang tahap kerosakan dan kerja-kerja baik pulih di lokasi tersebut akan dimulakan sebaik sahaja proses taksiran tersebut selesai dijalankan.

TM akan terus membuat pengumuman mengenai perkembangan kerja-kerja baik pulih yang sedang dijalankan.

”TM memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan kami ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran para pelanggan sepanjang tempoh ini.

”Kami memberi jaminan bahawa perkhidmatan kami akan beroperasi seperti biasa selepas proses baik pulih berkenaan selesai,” kata jurucakap TM.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan TM di talian 100 atau menghantar e-mel ke help@tm.com.my.

Pelanggan juga boleh menghubungi TM melalui Twitter @TMConnects dan laman Facebook Everyone Connects – https://www.facebook.com/everyoneconnects.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA