Kerjasama Agensi Kerajaan Beri Manfaat Kepada Industri Nanas



KOTA SAMARAHAN : Kerjasama antara agensi di bawah Kerajaan Negeri dan agensi di bawah Kementrian Pertanian Dan Industri Asas Tani mampu mengoptimumkan penggunaan sumber bagi mencapai impak besar dan dapat memberi manfaat kepada industri nanas negara.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihak Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan inisiatif kerjasama dengan objektif untuk terus menggalak dan membangunkan industri nanas negara.

"Inisiatif ini adalah selaras dengan sasaran Sarawak bagi mencapai keluasan tanaman nanas seluas 3,500 hektar menjelang tahun 2020.

"Keluasan tanah gambut di Sarawak yang berjumlah 1.7 juta hektar yang mana 55,000 hektar telah diperuntukan bagi tujuan pertanian yang meliputi sektor nanas di samping tanaman sago dan kelapa sawit." ucapnya pada Majlis Perasmian Pelancaran Program Banci Tanaman Nanas Di Sarawak 2016 di Dewan Suarah Samarahan sebentar tadi.

Beliau turut menyokong penuh program banci tersebut kerana program berkenaan telah menggariskan beberapa matlamat seperti mengumpul maklumat dan data asas penanam dan pengusaha untuk mewujudkan pengkalan data yang lengkap dan kmprehensif.

"Adalah menjadi harapan agar dengan kewujudan pangkalan data hasil daripada bancian dapat membantu menangani cabaran-cabaran industri nanas negara dan keluaran nanas Sarawak khususnya dalam membantu memenuhi permintaan dan pemasaran di peringkat global.

"Di samping itu juga khidmat sokongan dan infrastruktur yang mencukupi di kawasan pengeluaran nanas dijangka dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas negara dengan mensasarkan peningkatan produktiviti nanas Sarawak daripada hanya 17 tan metrik per hektar hari ini kepada 45 tan metrik per hektar." katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Puan Rubiah Wang dan Pengerusi LPNM Datuk Samsolbari Jamali.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA