Kerajaan Tidak Benarkan Ketum Ditanam - TPM


KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan pokok ketum tidak dibenarkan untuk ditanam, menjual atau mengeksport tanaman berkenaan di negara ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan semua pihak menghentikan polemik isu berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya dimaklumkan beberapa kajian saintifik membuktikan pokok ketum memiliki lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

"Kementerian Dalam Negeri sudah mengadakan sesi taklimat bersama pakar daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) mengenai perkara itu.

"Beberapa input secara saintifik menunjukkan walaupun ketum mempunyai unsur kebaikan, tetapi hakikatnya lebih banyak unsur yang tidak baik jika digunakan, selain menyebabkan ketagihan dan menimbulkan penyakit tertentu.

"Oleh itu kerajaan melalui KDN dan Kementerian Kesihatan memutuskan daun ketum tidak boleh untuk diizinkan bagi ditanam secara komersial atau dipasarkan, apatah lagi jika ada niat untuk mengeksport ke negara luar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Media Prima Berhad (MPB) di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri FD Iskandar; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA