Kerajaan Setuju Tingkatkan Kekuatan Askar Wataniah

Foto Utusan Borneo
SEMATAN: Kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah kekuatan angkatan sukarela Askar Wataniah kepada satu nisbah satu berbanding angkatan tetap menjelang tahun 2020.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata langkah ini adalah bagi membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertahankan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, Morshidi yang juga komander Renjimen 511 Askar Wataniah menyeru semua anggota untuk menggalakkan ahli keluarga masing-masing menyertai angkatan sukarela bagi mencapai nisbah yang ditetapkan.

“Misi utama Askar Wataniah ke arah tahun 2020 adalah memberi tumpuan penuh terhadap pembangunan kekuatan sumber manusia dan memantapkan latihan.

“Menyedari pentingnya pembangunan kedua-dua unsur ini, beberapa pendekatan baharu yang dianggap berkesan telah dirancang dan sedang dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan hingga tahun 2020.

“Melalui konsep pertahanan menyeluruh, dasar pertahanan negara telah menetapkan segala sumber tenaga manusia serta aset-aset negara perlu digemblengkan untuk membantu ATM mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada upacara Perbarisan Penutupan Latihan Kem Tahunan (LKT) Rejimen 511 Askar Wataniah Siri 1/2016 di Kem Sematan di sini, semalam.

Bercakap mengenai latihan tersebut, ia merupakan ke muncak kepada latihan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun di mana segala pelajaran asas yang dipelajari semasa latihan tempatan telah diimplementasikan semasa LKT.

“Saya percaya sepanjang LKT selama 15 hari ini, anda semua telah mempelajari perkara yang baharu dalam aspek pengurusan latihan sepanjang berada di Kem Sematan dan latihan medan.

“Sebagai angkatan sukarela yang berdisiplin, saya berkehendakkan agar anda semua dapat membantu ganti angkatan tetap yang sedia ada sekarang ini apabila diperlukan.

“Kekuatan akidah dan kemantapan rohani juga perlu dikekalkan agar anda tidak terpengaruh dengan golongan ekstremis agama seperti Daesh sebaliknya menjadi mata dan telinga kepada tentera darat dengan melaporkan sebarang bentuk ancaman yang boleh mengganggu-gugat negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, upacara perbarisan penutupan LKT itu semalam telah dijayakan oleh 29 pegawai dan 591 anggota pelbagai pangkat yang turut menyaksikan upacara pemakaian pangkat kepada 31 anggota.

Turut hadir Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, Timbalan Komander Renjimen 511 Askar Wataniah Leftenan Kolonel Ding Tiew Wong serta yang lain. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA