Kerajaan Sarawak, PETRONAS Akan Bincang Pekerja Bukan Anak Sarawak

Foto : BH

SAMARAHAN: Kerajaan Negeri Sarawak akan mengadakan mesyuarat dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dalam masa terdekat untuk untuk membincangkan status semasa pekerja syarikat minyak nasional itu di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat itu diadakan berikutan langkah kerajaan negeri membekukan sementara permohonan permit kerja baharu kalangan kakitangan PETRONAS yang bukan anak Sarawak.

"Kerajaan negeri masih menunggu laporan daripada PETRONAS mengenai status semasa pekerja mereka dan ketika ini kita sudah mencapai keputusan untuk membekukan permohonan permit kerja daripada kakitangan Petronas kalangan bukan rakyat Sarawak yang mahu bekerja di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Banci Tanaman Nanas Negeri Sarawak, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Datuk Samsol Bari Jamali di Dewan Suarah, di sini, semalam

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar, diminta mengulas keputusan kerajaan negeri untuk membekukan sementara permohonan permit kerja baharu kakitangan PETRONAS yang bukan rakyat Sarawak yang berkuatkuasa serta merta..

Ketika ditanya mengenai tarikh akhir kepada PETRONAS untuk mengemukakan laporan itu, Uggah berkata, ketika ini pihaknya tidak menetapkannya tetapi ia dijangka dikemukakan kepada kerajaan negeri tidak lama lagi. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA