Kerajaan Persekutuan Beri Keutamaan Kepada Pembangunan Sarawak


Kuching : Sejajar dengan usaha Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020, kerajaan Persekutuan memberikan keutamaan utama kepada pembangunan Sarawak untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata Bajet 2016 memperuntukkan sebanyak RM29.2 bilion bagi program pembangunan Sarawak dan Sabah termasuk Lebuh Raya Pan Borneo.

"Lebuh raya bebas tol sejauh 1,089-kilometer itu akan menyediakan hubungan yang lebih baik dan merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak.

"Selain itu, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak seluas 70,000 kilometer persegi akan menyediakan 1.6 juta peluang pekerjaan di kawasan perindustrian," kata kementerian itu.

Kementerian Kewangan berkata untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di Sarawak, kerajaan Persekutuan menyediakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 735,817 penerima yang berjumlah RM549.84 juta pada 2016.

Dalam tempoh lima tahun lepas, ekonomi Sarawak mencatatkan pertumbuhan positif dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.

"Keluaran Dalam Negara Kasar Sarawak mencatatkan pertumbuhan kukuh 10 peratus sejak 2010, disumbang terutamanya daripada industri perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan kuari dan pertanian. Pengembangan ekonomi Sarawak disokong oleh pelaburan modal besar berjumlah RM44.6 bilion sejak 2011 sehingga Mac 2016," kata kementerian itu.

Kementerian Kewangan berkata Sarawak juga menerima peruntukan besar daripada kerajaan Persekutuan untuk membangunkan lagi ekonominya.

Dari 2010 hingga 2014, Sarawak menerima RM57 bilion, terdiri daripada perbelanjaan dan geran operasi dan pembangunan.

Kementerian Kewangan hari ini mengadakan mesyuarat kumpulan fokus bajet di Kuching yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee Leong, untuk membincangkan isu-isu utama dan mendapatkan pandangan serta syor bagi pertimbangan Bajet 2017.

Mesyuarat itu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi persekutuan, agensi negeri Sarawak dan badan-badan berkanun, ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan Sarawak.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA