Kerajaan Negeri mohon maaf durian tidak cukup


SEREMBAN - Kerajaan negeri tidak menjangkakan sebanyak lima tan buah durian yang dibekalkan pada hari pertama Festival Buah-buahan dan Makanan Negeri Sembilan 2016 di sini pada 6 Ogos lalu boleh habis dimakan oleh sebahagian pengunjung hanya dalam tempoh tiga jam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar berkata, situasi itu menyebabkan sebahagian lagi pengunjung yang tidak berkesempatan untuk menikmati buah durian ketika menyertai festival itu melahirkan rasa terkilan dan kecewa mereka di media sosial.

Justeru, katanya, kerajaan negeri memohon maaf kepada pengunjung terlibat dengan memberi jaminan akan memperbaiki kekurangan yang berlaku dalam penganjuran Festival Buah-buahan dan Makanan Negeri Sembilan pada masa depan.

"Pada hari pertama festival yang berlangsung di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar), Paroi di sini, kami sediakan sebanyak lima tan durian untuk kira-kira 4,200 pengunjung. Kami tidak menjangkan sambutan luar biasa ke atas durian menyebabkan buah durian yang dibekalkan tidak cukup.

"Sebenarnya festival yang berlangsung selama dua hari ini adalah program makan pelbagai buah-buahan tempatan, tetapi fokus utama pengunjung adalah durian menyebabkan mereka kecewa kerana tidak dapat makan durian kerana telah habis," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA