Kerajaan Nafi KR1M Hadapi Masalah Stok Bekalan



MIRI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menafikan dakwaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah dan Sarawak berdepan masalah kekurangan stok bekalan untuk dijual sehingga menjejaskan operasi harian.

Timbalan Menterinya Datuk Henry Sum Agong berkata beliau sudah menerima laporan mengenai perkara itu dan siasatan awal mendapati tiada elemen penyelewengan berlaku.

"Kita sudah berjumpa dengan pembekal utama barangan KR1M di Kuala Lumpur dan mendapati tiada masalah kekurangan stok bekalan barangan harian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Henry melakukan lawatan kerja ke KR1M Pujut di sini untuk mendapat gambaran sebenar mengenai situasi masalah kekurangan stok bekalan di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara barangan yang dilaporkan didakwa berkurangan di kedai itu ialah minyak masak dan tepung.

Beliau juga menafikan penutupan KR1M di Engkilili, Sri Aman, Sarawak pada bulan ini ada kaitan dengan dakwaan kekurangan stok bekalan.

"Penutupan KR1M Engkilili berpunca daripada sewaan premis perniagaan yang mahal dan jualan tidak menguntungkan," katanya dan menambah purata kadar sewaan sebuah KR1M di Sarawak ialah RM10,000 sebulan.

Henry berkata KPDNK sedang mencari jalan penyelesaian supaya KR1M dapat beroperasi semula di Engkilili.

Gambar penutupan KR1M Engkilili menjadi viral di media sosial sehingga menimbulkan persepsi negatif yang mendakwa lebih banyak lagi KR1M akan ditutup di negeri ini berikutan masalah stok bekalan kurang.

Setakat ini terdapat 33 buah KR1M beroperasi di Sarawak. –Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA