Keputusan Kerajaan Sarawak Beku Permit Pekerjaan Petronas Adalah Tindakan Adil


KUCHING: Keputusan kerajaan negeri membekukan permohonan baharu untuk permit pekerjaan daripada Petronas adalah tindakan yang adil, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

“Jika rakyat Sarawak (bekerja dengan Petronas) diberhentikan dan yang lain dari luar Sarawak datang dan mengambil alih kekosongan ditinggalkan, ia tidak adil.

“Jika ada anak Sarawak berkebolehan, yang seharusnya terus berkhidmat dengan Petronas, biarlah mereka terus bekerja (di situ),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Islam Sarawak (MIS) di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata kerajaan negeri mengambil inisiatif itu atas beberapa aduan berhubung proses penstrukturan semula Petronas termasuk memberhentikan pegawai-pegawainya dari Sarawak yang bekerja di negeri ini.

“Aduan mengatakan ramai pegawai bukan rakyat Sarawak masih dikekalkan berkhidmat di sini. Jadi (Timbalan Ketua Menteri) Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah menghubungi pegawai kanan Petronas meminta jumlah terkini rakyat Sarawak bekerja dengan syarikat itu.

“Buat sementara waktu, kami (kerajaan negeri) membeku permohonan permit pekerjaan (untuk Petronas) sehingga kami mendapat semua maklumat untuk disahkan,” jelasnya.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata Petronas bertindak ‘kebudak-budakan’ jika membawa pegawai Sarawak pulang dari Semenanjung Malaysia atau luar negara untuk bekerja di negeri ini.

“Jika Petronas membawa pulang semua pekerjanya berasal dari Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia atau luar negara ia satu tindakan yang kebudak-budakan.

“Petronas akan mengalami kehilangan yang besar jika melakukannya. Kenapa? Ini kerana minyak dan gas berada dalam kawasan perairan Sarawak,” tegasnya.

Selain itu katanya, perkara diperjuangkan Sarawak itu adalah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA