Kenyataan Ahli Politik Berbaur Perkauman - Lam Thye


KUALA LUMPUR: Sikap ahli politik yang gemar membuat kenyataan berbaur perkauman dan menghasut menjadi penghalang utama kepada usaha memelihara perpaduan di negara ini.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata beliau amat sedih dengan sikap segelintir ahli politik yang gemar mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan menghasut sehingga menggugat perpaduan rakyat.

"Saya sangat tidak bersetuju dengan ahli politik yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan kerana ia akan menjejaskan segala usaha yang kita bina serta cuba pelihara selama ini.

"Paling penting kita harap tokoh politik menjadi teladan kerana kita kini berada di landasan yang betul. Jangan buat kenyataan perkauman dan menghasut. Jika ini berlaku, ini satu halangan terbesar kepada usaha memupuk perpaduan," katanya. Beliau berkata demikian dalam forum Bicara BH bertajuk 'Perpaduan Semakin Rapuh: Apa Yang Silap?' anjuran bersama BH dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Forum dikendalikan Pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Selain Lam Thye, dua lagi ahli panel membincangkan tajuk berkenaan ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk L Gandesan dan Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Yang turut hadir, Pengerusi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Tan Sri Ismail Omar; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohamad Azlan Abdullah; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali dan Timbalannya, Datuk Badrul Hisham Othman. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA