Kempen, Pertandingan SSM Semarakkan Bulan Merdeka


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan kempen #IAMSSM dan “SAYA ANAK MALAYSIA” bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara ke-59.

Majlis berlangsung di perkarangan Menara SSM dan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin serta dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner, pada Isnin.

Kempen bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan warga kerja SSM dan seluruh rakyat Malaysia selain mengingatkan kewajipan memelihara nilai kemerdekaan, sekaligus memupuk semangat cintakan negara dan sayangkan keharmonian yang dikecapi di negara ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa sejurus selepas ketibaan Hamzah dan diikuti dengan nyanyian Jalur Gemilang dan Negara Ku dengan penuh bersemangat oleh warga kerja SSM.

“Sudah 59 tahun kita merdeka, daripada tahun pertama (1957) sehingga sekarang ini, pelbagai perubahan dapat dilihat dari segi pembangunan, pemodenan ekonomi dan kemakmuran negara.

“Kepimpinan yang ada dari dahulu sehingga sekarang adalah mereka yang bertanggungjawab memastikan rakyat hidup aman sentosa dan bersemangat meneruskan perjuangan membangunkan negara.

“Insya Allah dalam empat tahun lagi, negara tercinta kita akan diumumkan sebagai negara berpendapatan tinggi,” ujar Hamzah dalam ucapannya.

Pada majlis sama, Hamzah tidak melepaskan peluang mengedarkan jalur gemilang serta cenderahati SSM kepada orang ramai.

Dalam pada itu SSM menganjurkan Pertandingan Video Patriotik “IamSSM” sempena Hari Kemerdekaan yang dibuka kepada orang ramai dan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhannya berjumlah RM3,000.

Turut dianjurkan, pertandingan menghias pejabat SSM di seluruh Malaysia bagi menaikkan lagi semangat syarikat-syarikat dan perniagaan di Malaysia agar lebih menghayati bulan kemerdekaan. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA