Kempen Kesedaran Terhadap Haiwan Untuk Pelajar Sekolah: Ahmad Shabery


KUALA LUMPUR: Satu kempen mengenai kesedaran penjagaan haiwan akan diadakan di sekolah-sekolah di seluruh negara bagi meningkatkan pendidikan dan kefahaman mengenai penjagaan haiwan, khususnya binatang peliharaan.

Kempen anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pendidikan yang dikenali sebagai ‘Aktiviti Pendidikan Awal Kebajikan Haiwan’ itu menyasarkan pelajar sekolah memandangkan mereka gemar berdampingan dengan haiwan peliharaan seperti kucing, anjing serta haiwan eksotik yang lain.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dalam aktiviti itu para pelajar akan dididik mengenai cara penjagaan haiwan peliharaan yang terbaik.

“Ini termasuk memastikan mereka menyediakan persekitaran yang sesuai, makanan berkhasiat dan pemeriksaan kesihatan secara berjadual,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke pejabat Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Selangor (SPCA Selangor), di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Kamarudin Md Isa.

Ahmad Shabery berkata selain penganjuran aktiviti itu, kementerian akan turut menganjurkan program sambutan Hari Kebajikan Haiwan peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Haiwan Sedunia pada 4 Oktober depan.

“Program ini akan berlangsung di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta, penganjurannya bertujuan meningkatkan kesedaran kebajikan terhadap haiwan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata SPCA Selangor, NGO dan syarikat swasta diminta agar terus bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam mempromosikan kebajikan dan pemilikan bertanggungjawab terhadap haiwan kepada orang ramai. — Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA