Keluarga Mahu Keadilan Ditegakkan - Zahid



PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap musibah yang menimpa menantunya menjadi pengajaran kepada pengamal perubatan supaya mementingkan nyawa pesakit tanpa hanya mengutamakan aspek kewangan. 

Timbalan Perdana Menteri juga berterima kasih kerana kes membabitkan Allahyarham menantunya, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, dibawa ke mahkamah hari ini dan berharap keadilan ditegakkan. 

"Bagi mereka yang meninggalkan kita, kita reda tetapi saya harus prihatin terhadap cucu saya yang menjadi anak yatim di sebabkan kecuaian klinik pergigian berkenaan. 

"Saya harap ini menjadi pengajaran kepada mana-mana pengamal yang melakukan tindakan tanpa prasangka. Jika seseorang lokum (doktor bekerja sambilan) mahu mencari pendapatan lebih sekali pun, nyawa pesakit perlu diberi keutamaan bukan aspek kewangan. 

"Profesionalisme harus diberi keutamaan, saya yakin dengan keadilan di mahkamah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat (JKTPBP), di sini, hari ini. 

Pagi tadi, seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kematian menantu Ahmad Zahid, semasa mendapatkan rawatan gigi Jun lalu. 

Dr Ting Teck Chin, 36, yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa. 

Teck Chin yang bertugas di Jabatan O&G Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di Kuala Lumpur antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA