Kelab Sahabat N87 pertahan Najib

KOTA BHARU: Kelab Sahabat N87 (Najib87) Negeri Kelantan akan memastikan Datuk Seri Najib Razak, terus kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO serta mempertahankan institusi presiden daripada dicabuli oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, kelab berkenaan menerusi deklarasi yang dikeluarkan hari ini, bersedia menghadapi sesiapa sahaja yang menjadi musuh UMNO atau petualang dalam parti.

Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Abdullah, berkata deklarasi kelab berkenaan juga adalah pernyataan sokongan padu kepada kepimpinan Najib, sekali gus mempertahankan institusi presiden dalam parti daripada diganggu gugat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kelab berkenaan akan menghadapi dan bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja pengkhianat politik negara termasuk mereka yang kini menjadi musuh UMNO seperti bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kelab ini dan rangkaian kelab yang sama di seluruh negara akan mempertahankan kepimpinan Najib dalam menghadapi serangan pakatan pembangkang dan bagi menghadapi PRU-14," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama kelab berkenaan di Bangunan UMNO negeri, di sini, tadi.

Kelab berkenaan yang ditubuhkan pada 3 Mei lalu bertujuan menghimpunkan semua bekas ahli Pergerakan Pemuda UMNO yang sezaman dengan Najib daripada tahun 1980 hingga 1993.

Kamaruddin berkata, ketika ini kelab berkenaan sedang memproses pendaftaran kira-kira 2,000 keahlian bekas Pemuda UMNO di negeri ini yang sezaman dengan Najib dan beberapa program susulan akan dijalankan.

Sementara itu, antara kandungan deklarasi yang dikeluarkan kelab berkenaan tadi menyebut pihaknya bersedia menangkis segala isu khianat yang ditaburkan oleh parti pembangkang sama ada berbentuk serangan peribadi terhadap Najib atau kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kelab berkenaan akan berganding bersama kepimpinan UMNO di semua peringkat bagi mengukuhkan kekuatan dan kestabilan UMNO dengan melaksanakan gerakan terancang secara bersepadu dan bekerja keras berprinsipkan penuh kesetiaan termasuk dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kelab berkenaan juga akan memastikan Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO serta mempertahankan institusi presiden daripada dicabuli oleh pihak tidak bertanggungjawab. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA