Kehadiran BERSATU Tidak Datangkan Kesan Terhadap Arena Politik Sarawak


MIRI: Kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) walaupun diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap arena politik di Sarawak.

Penganalisis Politik dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Madya Dr Jeniri Amir menjamin parti itu tidak mendapat sebarang kerusi milik Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Sukar untuk mereka bertapak di Sarawak lebih-lebih lagi parti bersifat kemelayuan dan pemimpinnya adalah bekas pe-mimpin UMNO,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan BERSATU menjadi parti politik yang bakal menggugat politik Sarawak dan Sabah dengan perkataan pribumi wujud dalam parti berkenaan.

Mengulas lanjut, antara kesukaran parti terbabit ialah perlu bersaing dengan banyak parti bersifat lokal di negeri ini.

Beliau memberitahu, BERSATU perlu langkah lebih pragmatik untuk meyakinkan masya-rakat kompleks di Sarawak dan ini lebih sesuai dengan perjuangan parti-parti tempatan.

Ditambah pula dengan kesulitan melebarkan sayap parti itu di Sarawak jika memiliki kekangan kewangan di mana negeri ini masih memerlukan kos pengangkutan agak tinggi dengan bentuk geografinya.

Malah, beliau menyifatkan BERSATU akan mendapat nasib sama seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di negeri ini di kawasan yang ditandingi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“BERSATU mempunyai ke-dudukan sama seperti PAS dan PKR di negeri ini, sebabnya kita sudah teliti kawasan majoriti Bumiputera,” tambah beliau.

Menurutnya, ini adalah satu kenyataan dan pengalaman yang disaksikan melalui pilihan raya-pilihan raya lalu.

“Sebab BERSATU tidak mungkin akan bertanding di kawasan majoriti kaum Cina,” katanya. - TheBorneoPost

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA