Ke Arah Transformasi, Program Hati Akar Umbi Tagih Kerjasama NGO


KUALA LUMPUR: Kerjasama berterusan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dengan badan bukan kerajaan (NGO) diperlukan untuk memahami isu dan transformasi lebih jitu bagi memperkasakan wanita dan kanak-kanak perempuan di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, menerusi inisiatif program Hati Akar Umbi yang memasuki tahun ketiga, maklumat dan pandangan masyarakat akar umbi terhadap dasar-dasar negara, adalah penting untuj pembangunan wanita.

"Modul Hati Akar Umbi yang dipraktikkan tentu berupaya memperkasa wanita bagi menyelesaikan masalah setempat dengan cara tersendiri.

"Oleh itu adalah lebih baik wanita setempat bergerak sederap dengan Jabatan Pembangunan Wanita dan NCWO untuk memperkukuhkan usaha di dalam pelbagai bidang," katanya dalam ucapan perasmian majlis makan malam sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-54 di sini, Rabu.

Buat julung kalinya tahun ini, sambutan Hari Wanita Kebangsaan itu diadakan hasil kerjasama NCWO dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bertemakan 'Sepadu Usaha, Tiada Wanita Ketinggalan', Rohani berkata, ia sinonim dengan agenda kerajaan dalam memastikan tiada wanita yang ketinggalan, dan seterusnya menjadi entiti penting penggerak pembangunan negara.

Turut mencemar duli menghadiri majlis sama selalu tetamu diraja adalah Raja Permaisuri Agong Tuanku Sultanah Haminah Hamidun, selain isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Yang Dipertua NCWO, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

"Jelas sekali kerjasama ini merupakan satu manifestasi komitmen kita semua untuk sama-sama berusaha ke arah kemajuan wanita dan kesaksamaan gender di negara kita," tambah Rohani.

Dalam perkembangan lain, Rohani turut memberitahu pihaknya bakal menganjurkan sambutan Hari Lelaki, bertujuan menghargai kaum lelaki di negara ini. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA