KDN Sentiasa Kemas Kini Status Keselamatan Negara Kepada Perwakilan Asing


PUTRAJAYA, 9 Ogos (Bernama)-- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa mengemas kini maklumat mengenai kedudukan keselamatan negara kepada ketua-ketua perwakilan negara asing agar tidak timbul persepsi kerajaan mahu menyembunyikan fakta, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jika berlaku sesuatu peristiwa atau ada maklumat penting yang diperlukan, maka ia secara automatik akan disampaikan kepada mereka.

"Ini supaya tidak akan timbul persepsi bahawa kami mahu menyembunyikan fakta dan tidak memberitahu hal yang sebenar sebab mereka bertanggungjawab untuk memberitahu kepada negara dan Kementerian Luar masing-masing mengenai kedudukan keselamatan dan beberapa isu lain di Malaysia," katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan Taklimat Situasi Terkini Keselamatan Negara Kepada Perwakilan Negara-negara Asing di Malaysia, Ahmad Zahid berkata KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa serius dalam menangani keganasan dan jenayah.

Katanya ketika sesi soal jawab bersama 86 perwakilan asing dan tujuh pertubuhan antarabangsa itu, tidak banyak soalan dikemukakan kerana mereka telah memahami situasi di negara.

"Ini adalah taklimat kali kedua untuk tahun ini, kami juga akan mengadakan siri perbincangan berkenaan maklumat yang perlu dikemas kini. Walaupun kami tidak bertanggungjawab kepada mereka tetapi kerana soal diplomatik kami harus memaklumkan kepada mereka," katanya.

Ahmad Zahid berkata pihaknya merasakan bahawa semua maklumat terkini soal keselamatan harus diketahui oleh mereka agar tidak hanya bergantung kepada laporan media.

"Saya yakin kepada media konvensional tetapi ada media yang bukan konvensional yang mensensasikan maklumat itu, umpamanya kadar jenayah menurun namun persepsi tidak meningkat dan tidak mencapai keseimbangan mengenai realiti yang dihadapi," katanya.

Beliau berkata peningkatan dalam kesiapsiagaan untuk pemantauan dan pembanterasan kegiatan keganasan dan jenayah telah dilakukan dengan menambah peralatan dan aset.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga telah berikan kelulusan jawatan tambahan kepada unit tertentu dalam PDRM untuk menambah kekuatan pemantauan dan juga melakukan usaha pembanterasan," katanya.

Mengulangi amaran mengenai ancaman militan Daesh, Ahmad Zahid berkata rakyat harus mengambil serius tentang ancaman tersebut.

"Kempen kesedaran telah dilakukan tetapi ada yang menganggap ini satu gimik politik atau untuk mengubah sesuatu isu kepada isu yang melibatkan keganasan.

"Kami (kerajaan) tidak ada agenda tersembunyi, kami memberitahu rakyat kedudukan sebenarnya. Kami tidak mahu mana-mana individu menjadi mangsa, itulah sebabnya agensi penguatkuasaan mengambil langkah yang serius," katanya.

Katanya, pertukaran maklumat sentiasa berlaku terutama dengan negara yang mempunyai maklumat yang harus dikongsikan dengan pihak Malaysia termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan China serta semua negara anggota ASEAN.

Katanya hasil pertukaran maklumat itu juga telah menyebabkan rancangan cubaan serangan di Marina Bay, Singapura minggu lalu berjaya dipatahkan.

"Apa yang berlaku di Singapura adalah hasil perkongsian maklumat yang datang dari Indonesia, dan pihak kami dan pihak Singapura telah mengambil tindakan segera," katanya. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA