Kawalan Sempadan Terus Dipermantap

Foto Utusan Borneo

KUCHING: Kawalan keselamatan di kawasan sempadan darat sepanjang 2,019.5 kilometer (km) antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan di Indonesia terus dipermantap apabila 31 Briged Infantri mula beroperasi kelak.

Panglima Divisyen Pertama Infrantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, briged itu yang setakat ini masih di peringkat penubuhan, bakal diperkasa dengan kekuatan besar iaitu lima batalion atau lebih 5,000 anggota secara keseluruhan bagi mengawasi kawasan perbatasan.

“Sesuai dengan keperluan pertahanan negara terutama di Sarawak, 1 Divisyen akan meneruskan usaha-usaha mempertingkatkan kemampuannya secara komprehensif dalam tahun-tahun akan datang bagi mewujudkan pertahanan yang tinggi bagi menangani sebarang ancaman terutama di sempadan.

“Penstrukturan angkatan dengan tertubuhnya 31 Briged Infantri akan mengimbangi keupayaan keselamantan dan kesiapsiagaan 1 Divisyen,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Hari Ulang Tahun 1 Divisyen Ke-50 (Jubli Emas) di Markas Divisyen 1, Kem Muara Tuang di Jalan Datuk Mohammad Musa, Kota Samarahan di sini, semalam.

Hadir sama, Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Subari Tomo dan Panglima 31 Briged Brigedier Jeneral Jamaluddin Jambi.

Stephen berkata, meskipun bermula sebagai sebuah organisasi kecil dengan keanggotaan minimum apabila mula ditubuhkan pada 1966, ia kini berkembang dan melangkah menjadi sebuah angkatan tentera berkredibiliti, profesional dan berkeupayaan tinggi bagi mempertahankan negeri ini.

Menurut beliau, 1 Divisyen menyumbang bakti kepada pembangunan negara sesuai dengan tugas sekunder di mana segala sumbangan dan perubahan wajah itu mencerminkan keupayaan dan kematangan dikecapi.

Pencapaian dinikmati sekarang bukan datang dengan mudah katanya, tetapi hasil pengorbanan dan sumbang bakti yang meletakkan imej dan kebolehan 1 Divisyen dikenali dalam Tentera Darat Malaysia.

“Selama lima dekad yang lalu, 1 Divisyen telah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan sama ada yang manis mahupun getir dalam usaha menjaga kedaulatan negara khususnya negeri Sarawak,” katanya.

Beliau turut menyeru agar 1 Divisyen sentiasa peka dengan keadaan strategik serantau dan dunia yang menunjukkan bermacam-macam cabaran keselamatan sekali gus memerlukan angkatan bersedia dan berwaspada menghadapi ancaman-ancaman tersebut.

“Dalam menghadapi semua bentuk ancaman yang berlaku dewasa ini, warga 1 Divisyen juga perlu berwaspada dan sentiasa peka dengan perubahan semasa.

“Situasi yang mencabar ini juga memerlukan warga 1 Divisyen terus berusaha gigih memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan termasuk ilmu-ilmu bidang peperangan berteknologi tinggi,” katanya. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA