Kaunter Kewangan TH Dibuka Mulai Esok


MADINAH: Kaunter kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk kemudahan 22,320 jemaah haji Malaysia musim ini akan memulakan operasi mereka mulai esok iaitu sebaik ketibaan kumpulan jemaah yang pertama.

Pengarah Operasi Kewangannya, Che Gayah Salleh, berkata bagi melancarkan operasi, TH akan membuka 36 kaunter kewangannya iaitu 27 di Makkah manakala sembilan kaunter di sini.

"Pada tahun ini seramai 45 petugas kewangan akan bertugas bagi menguruskan urusan pengeluaran wang, perpindahan wang dan pembayaran dam serta korban.

"Jemaah haji hanya perlu membawa tag nama mereka ke kaunter bagi semua urusan itu dan had pengeluaran sehari adalah sebanyak SR10,000," katanya pada sidang akhbar mengumumkan pembukaan kaunter itu di sini, hari ini.

Che Gayah menasihatkan jemaah haji agar tidak menukar wang riyal dengan jumlah yang banyak bagi mengelakkan sebarang masalah seperti kecurian dan sebagainya.

"Cukup untuk bawa wang dalam jumlah yang perlu sahaja kerana selainnya boleh dilakukan di kaunter TH ini," katanya.

Beliau berkata, kaunter kewangan TH yang dibuka di Makkah ialah di Hotel Abbraj Al Janadriyah iaitu enam kaunter, Land Premium (lima), Rehab Al Janadriyah, Manar Al Shorouq (tiga) dan masing-masing dua di Qasr Al Janadriyah, Masat Al Badae, AlBisyarah Mawaddah, Al Wafideen serta THTS.

Sembilan kaunter di sini pula adalah empat di Hotel Anwar Movenpick dan lima di Hotel Alharram.

Che Gayah turut menasihatkan jemaah haji agar membuat urusan biometrik (cap jari) lebih awal di Malaysia bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan pengurusan kewangan itu.

Sementara itu, beliau berkata kadar dam yang dikenakan bagi musim haji ini ditetapkan sebanyak SR440 bagi qibas dan SR2,250 bagi lembu manakala untuk korban pula ditetapkan SR460 bagi qibas dan lembu SR4,150.

Kumpulan jemaah haji pertama yang bakal tiba di sini menerusi penerbangan KT1 adalah membabitkan 489 orang. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA