Kastam Masih Terima Aduan Mengenai Resit Bercukai GST



KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) masih lagi menerima aduan mengenai invois dan resit bercukai GST, kata Pengarah Kastam Negeri Sarawak Ahmad Jii.

Beliau berkata ini termasuk aduan mengenai invois yang dikeluarkan tidak menepati kehendak Akta Barang dan Perkhidmatan 2014, orang berdaftar yang tidak mengeluarkan invois/resit bercukai GST dan syarikat berdaftar tidak mengenakan GST terhadap perbekalan bercukai yang dilakukan.

“Pihak JKDM sentiasa memantau dan mengambil inisiatif bagi menangani perkara seumpama ini dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Jom Minta Resit GST di sini semalam.

Katanya, satu daripada inisiatif adalah dengan melaksanakan program berasaskan cabutan bertuah bagi memberi insentif kepada pengguna untuk meminta invois/resit bercukai GST di bawah program ‘Jom Minta Resit GST’.

Beliau berkata tujuan program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna tentang kepentingan untuk meminta dan menyimpan invois/resit bercukai, di samping meningkatkan tahap pematuhan pengusaha dan peniaga terhadap kewajipan untuk mengeluarkan invois/resit bercukai selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 33, 34 dan 36 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Bagi cabutan siri kedua (Jun dan Julai) JKDM menerima 195,690 resit GST yang melibatkan jumlah penyertaan 17,123 orang dari seluruh negara, dan daripada jumlah itu, sebanyak 11,782 resit daripada penyertaan pengguna dari Sarawak berbanding 10,051 untuk penyertaan bulan April dan Mei.

“Ini merupakan peningkatan dan sambutan yang menggalakkan daripada pengguna di negeri ini dalam setiap cabutan.

“Sarawak juga merupakan negeri yang ketiga tertinggi dari segi resit yang diterima oleh JKDM di belakang Selangor dan Kuala Lumpur dan saya berharap untuk cabutan seterusnya (bulan Ogos dan September) nanti penyertaan akan terus meningkat,” kata Ahmad yang baru sahaja dilantik memegang jawatan itu.

Katanya seramai 226 pemenang dikenali pasti menerima pelbagai jenis hadiah termasuk 14 pemenang yang hadir untuk menerima hadiah masing-masing hari ini, sementara pemenang yang lain boleh menuntut hadiah masing-masing di pejabat JKDM berdekatan mulai hari ini hingga 9 Sept depan.

Bagi cabutan kali ini, hadiah utama berupa sebuah motosikal Modenas CT 115S dimenangi oleh Rainee Gindol dari Kota Kinabalu, Sabah. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA