Kapal Tangki 'Vier Harmoni' Dilarikan - APMM

Kapal Vier Harmoni belayar dari pelabuhan Tanjung Pelepas pada Isnin membawa muatan diesel dengan nilai anggaran RM1.57 juta (AS$392,795).

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan sebuah kapal tangki minyak milik Indonesia, MT Vier Harmoni, yang membawa 900,000 liter diesel bernilai RM1.57 juta, hilang di perairan Malaysia, petang semalam.

Menurut APMM, kapal itu sepatutnya berada di sekitar perairan Kuantan, namun telah dilarikan.

APMM, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya pagi tadi, berkata gerakan mencari kapal berkenaan diaktifkan awal pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Datuk Ahmad Puzi Abu Kahar dalam kenyataan terbaharu yang dimuat naik di akaun Twitternya berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia dan dimaklumkan bahawa kapal tangki itu berada di perairan Batam bersama muatan diesel berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati, kapal berkenaan yang didaftarkan di Batam telah dilarikan atas sebab masalah dalaman.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia. - Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA