Kabali Pungut RM12 Juta Dalam Seminggu


KUALA LUMPUR: Filem ‘Kabali’ yang dibintangi legenda filem Tamil, Rajinikanth bagai ‘pisang goreng’ panas dengan kutipan jualan tiket di pawagam seluruh negara mencecah RM12 juta dalam tempoh tujuh hari ditayangkan.

Penerbit bersama filem itu, Datuk Abdul Malik Dashtigeer berkata, Kabali yang ditayangkan di 498 layar perak di seluruh negara sejak 22 Julai lalu masih mendapat sambutan luar biasa apabila kesemua tiket habis dijual di beberapa pawagam.

“Hasil jualan tiket Kabali di Malaysia sahaja mencatat RM12 juta setakat hari ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Abdul Malik yang juga pemilik syarikat Malik Streams berkata, kutipan bagi Kabali versi Melayu pula masih tidak diketahui, berikutan filem itu baru menemui peminat pada Jumaat lalu di beberapa pawagam tertentu di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sambutan bagi filem yang dialih suara daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu buat kali pertamanya dalam dunia perfileman negara mendapat sambutan baik daripada penonton pelbagai kaum, khususnya masyarakat Melayu.

Abdul Malik berkata, filem versi Melayu itu ditayangkan di 48 pawagam di seluruh negara dan ia juga akan ditayangkan di Indonesia, Thailand dan China pada akhir bulan ini.

“Ramai yang menyukai versi Melayu kerana ia memberikan suatu pengalaman berbeza dan filem versi Melayu juga mempunyai klimaks yang agak berbeza dengan versi asal,” jelasnya.

Menurutnya, kutipan hasil jualan tiket bagi Kabali versi Tamil di seluruh dunia pula mencapai AS$58.62 juta, iaitu RM236 juta dalam tempoh tujuh hari dan merupakan kutipan terbanyak bagi filem Tamil setakat ini.

Dalam filem Kabali, Superstar Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao memegang watak samseng Don di Malaysia dan dikenali sebagai Kabaliswaran yang merupakan judul filem tersebut.

Filem sentuhan pengarah India, Pa Ranjith itu yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia, termasuk Kuala Lumpur dan Pulau Carey turut menampilkan pelakon tempatan seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan serta pelakon terkenal Taiwan, Winston Chao. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA