JKDM Serah Rampasan Kepada PERHILITAN

Foto Berita Harian

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan sembilan kes penyeludupan gading gajah dan kura-kura jenis Black Pond bernilai kira-kira RM10 juta, sehingga semalam.

Pengarahnya, Datuk Chik Omar Chik Lim, berkata dalam kes terbaru pada 4 Ogos lalu, satu cubaan menyeludup gading gajah melalui pintu masuk KLIA, berjaya dipatahkan selepas pemeriksaan terhadap enam bungkusan kargo udara menemui 111 kilogram gading gajah bernilai RM946,689.

Katanya, siasatan awal mendapati gading gajah yang tiba dari Entebbe, Uganda dan transit di Istanbul itu diikrar sebagai bijirin.

"Mengikut alamat pada bungkusan berkenaan, ia akan dihantar ke Salak Tinggi, namun selepas diperiksa, alamat itu ternyata tidak wujud dan penerima gagal dihubungi.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan pengimport atau pemilik gading gajah berkenaan. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa lesen import di bawah Perintah Kastam," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Gading Gajah oleh JKDM kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Chik Omar menyerahkan 1,174 kilogram gading gajah dan produk yang dirampas dalam pemeriksaan sepanjang tahun lalu dan tahun ini kepada Ketua Penolong Pengarah PERHILITAN, Mohammad Ali Che Aman untuk tindakan lanjut. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA