Jika Menjunam 20,000 Kaki Seminit Tentu Ada Serpihan


KUALA LUMPUR - Seorang juruterbang ujian hari ini mempertikai laporan berita bahawa pesawat MH370 menjunam ke dalam laut pada kelajuan amat tinggi iaitu hingga 20,000 kaki seminit memandangkan tiada sebarang serpihan ditemukan pasukan mencari.

Juruterbang Ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata sekiranya pesawat itu menjunam ke dalam laut pada kelajuan itu, ia sudah tentu berkecai.

Katanya, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana tiada sebarang kesan letupan dijumpai semasa operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Beliau berkata teori itu tidak dapat diterima kerana tiada langsung serpihan besar atau fiuslaj dijumpai anggota dan pegawai pasukan mencari sejak operasi mencari MH370 dilancarkan 888 hari lepas.

"Pelik...kami sepatutnya menjumpai sekurang-kurangnya serpihan kecil atau besar atau malah sebahagian daripada fiuslajnya jika teori itu betul...tapi, tiada satu pun yang dijumpai...mungkin MH370 kehabisan bahan bakar, maka tidak berlaku letupan," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak teori pesawat itu menjunam pada kelajuan tinggi.

"Kami hanya boleh menerima data itu dan membuat penyelidikan serta andaian untuk memecahkan kebuntuan, selain mencari serpihannya. Itulah objektif utama kami," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, saintis pertahanan Australia yang menganalisis isyarat daripada MH370 mendedahkan bahawa pesawat jenis Boeing 777 itu jatuh dengan amat laju sebelum terhempas ke dalam Lautan Hindi di luar pantai Australia Barat.

Hasil daripada analisis yang dibuat terhadap data dan simulasi pengeluar pesawat berkenaan menunjukkan MH370 mungkin kehilangan kuasa enjinnya sebelum jatuh pada kelajuan hingga 20,000 kaki seminit pada 8 Mac 2014.

Ditanya tentang kemungkinan pesawat itu terhempas pada kelajuan tinggi di kawasan mencarinya, bekas juruterbang Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata kapal dan pesawat yang terlibat dengan operasi mencari tidak menemukan sebarang serpihan luar biasa.

"Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT), yang dicipta untuk berfungsi apabila berlaku sesuatu nahas, tidak menghantar sebarang mesej. ELT tentu akan hidup sekiranya MH370 menjunam dengan kelajuan 20,000 kaki seminit. Dalam kes ini, itu tidak berlaku.

"Sebab itulah saya masih berpegang pada teori bahawa ada seseorang yang mengawal pesawat itu untuk melayang dan mendarat dengan lancar, menanggalkan 'cowling' enjin, flaperon dan sebagainya. Sesebuah pesawat akan berkecai apabila berada 6km di dalam air disebabkan aktiviti seismik dan arus lautan.

"Maka, ia sudah tentu akan berkecai. Mayat dan kerusi terapung di merata tempat. Tetapi, setakat ini, itu tidak berlaku," kata bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.

Sementara itu, pensyarah Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kamarul Arifin Ahmad berkata serpihan daripada pesawat itu tentu berselerak dan terapung sekiranya ia menjunam ke dalam laut pada kelajuan tinggi.

Kata beliau, memandangkan tiada serpihan besar ditemukan di kawasan mencari, maka para pegawai patut mencari penyelesaian lain atau alternatif untuk mengesan kotak hitam, yang akhirnya boleh merungkai misteri ini.

Sementara itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam laporan mingguannnya berkata kapal pencari, Fugro Discovery, akan beredar dari kawasan mencari untuk kali terakhir pada 11 Ogos dan singgah di Singapura untuk membuat persiapan bagi menjalankan projek seterusnya, yang tidak mempunyai kaitan dengan MH370.

ATSB berkata pelan pencarian menetapkan bahawa kawasan pencarian selebihnya akan diliputi dengan menggunakan kapal lain dan setakat ini, lebih 110,000 kilometer persegi kawasan dasar laut sudah diliputi.

Malaysia, China dan Australia akan menggantung, tetapi bukan menghentikan, usaha mencari MH370 apabila pencarian selesai dilakukan di kawasan keutamaan seluas 120,000 kilometer persegi.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar sejurus berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pesawat itu belum ditemukan walaupun operasi mencari secara besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, kawasan ia dipercayai mengakhiri penerbangannya setelah melencong daripada laluan asalnya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA