Jenazah 3 sekeluarga selamat dikebumikan


MELAKA: Hujan lebat lebih setengah jam menggambarkan kepiluan pada majlis pengebumian Pengerusi Tetap Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu, Mariah Baharin, suami dan anak lelaki bongsu mereka di Tanah Perkuburan Islam Bertam Malim, pagi tadi.
Jenazah Mariah, 61, Hassan A Wahab, 72, dan Muhammad Taufeq, 22, dikebumikan dalam satu liang kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Antara yang menghadiri majlis pengebumian ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Mohamad; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din.

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu disembahyangkan di Masjid Al-Faizin, Batu 4 1/2, Kampung Bertam Malim, di sini, yang diimamkan oleh Abdul Rashid Yusuf.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi semalam, tiga beranak itu meninggal dunia selepas dipercayai dikelar oleh suspek yang juga anak angkat saudara keluarga berkenaan.

Dua lagi anak perempuan veteran politik itu, Nuraqedah Aeina, 24, dan Noor Hazlinda Diyana, 27, parah akibat ditetak.

Ibu Mariah, Siti Khatijah Mohamad, 80, cedera ringan dalam kejadian itu.

Sementara itu, suspek lelaki kes berkenaan direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman bermula 26 Ogos hingga 1 September itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi.
-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA