Jeanne: Atlet Paralimpik Luar Biasa


PENAUNG Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah menyifatkan atlet paralimpik negara yang akan ke temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil sebagai atlet luar biasa.

"Mereka ini atlet luar biasa, apa sahaja yang mereka buat, mereka lakukan dengan penuh perasaan dan bila tengok muka mereka, usaha dan kebolehan mereka, kita harus bangga kerana Malaysia mempunyai atlet seperti ini," katanya.

Jeanne berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perhimpunan dan pelepasan kontingen paralimpik negara ke temasya sukan itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, atlet paralimpik negara harus diberi perhatian yang sama dengan atlet normal ke Sukan Olimpik kerana mereka turut berjuang demi negara dan membawa nama Malaysia.

"Kita sepatutnya berasa bertuah kerana negara ini mempunyai golongan paralimpian yang berbakat dan sebenarnya merekalah juara di hati kita semua," katanya yang mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan mereka.

Jeanne berkata, beliau juga tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran buat kontingen negara pada temasya sukan yang akan bermula pada 7 hingga 18 September ini.

"Saya hanya harap mereka akan mempamerkan aksi yang bertenaga dan memberikan persembahan terbaik di temasya itu," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terharu dengan pengumuman Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk turut memberi insentif dan pencen kepada atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat di Brazil.

Khairy mengumumkan atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat di Brazil, akan menerima elaun bulanan seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Sementara itu, pada majlis sama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pemberian insentif berkenaan adalah wajar kerana atlet paralimpik juga berjuang untuk mengharumkan nama negara.

"Bertanding di Sukan Paralimpik, sama juga susah seperti Sukan Olimpik kerana atlet paralimpik turut perlu melalui proses kelayakan sebelum mengesahkan tempat ke temasya sukan berkenaan," katanya.

Seramai 21 atlet akan menyertai temasya Sukan Paralimpik itu dan antara yang dilihat berpeluang meraih pingat ialah atlet olahraga iaitu Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Atlet negara bakal mengambil bahagian dalam lapan daripada 23 jenis sukan iaitu olahraga, berbasikal, powerlifting, memanah, ping-pong, pelayaran, tenis kerusi roda dan renang. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA