Jangan Hanya Mengharapkan Kerja Di Sektor Awam Sahaja


KUCHING: Para graduan diingatkan agar tidak terlalu memberi tumpuan untuk berkhidmat dalam sektor awam sebaliknya menerokai kerjaya lain di sektor swasta menggunakan kebolehan akademik dimiliki.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata dengan kelayakan dan pengalaman daripada latihan industri, para graduan boleh menceburi bidang keusahawanan atau sektor lain.

“Bagi graduan yang belum mendapat pekerjaan, jangan terlalu fokus untuk berkhidmat dalam sektor awam.

“Pengisian kekosongan untuk sesuatu jawatan dalam perkhidmatan awam mengambil masa yang agak lama dan bilangannya terhad,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakilinya pada Majlis Konvokesyen Politeknik Kuching Sarawak semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Datuk Mohlis Jaafar dan Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Muhamad Rumzi Mamat.

Abang Johari berkata pelbagai kemudahan dan bantuan disediakan kerajaan bagi para graduan yang ingin berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

“Ramai usahawan muda telah berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Beliau turut menasihati graduan agar tidak menganggap sijil akademik yang dimiliki sebagai kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan semata-mata, tetapi menyumbang ke arah mencetus peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Abang Johari turut berkata Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang kini berada di fasa kedua berupaya mewujudkan 16,000 peluang pekerjaan.

Katanya, berdasarkan kajian sebelum ini, dianggarkan 1.33 juta pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2030 membabitkan lebih 50 peratus tenaga mahir dan separuh mahir dalam bidang teknikal.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata permintaan terhadap guna tenaga di zon perindustrian lain di negeri ini turut meningkat termasuk di Samajaya dan Sejingkat.

Bagaimanapun, terdapat cabaran dihadapi kerajaan negeri dalam memenuhi permintaan guna tenaga bidang berkaitan.

Justeru, beliau berharap 89 institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) awam dan swasta sedia ada dapat memperkasakan peranan dan kemampuan dalam melahirkan graduan berkualiti serta menepati kehendak industri. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA