Jangan bermusim kibar bendera: Karim


SIBU: Jika ingin menzahirkan rasa cinta dan semangat patriotik terhadap negara, kibaran Jalur Gemilang harus dibuat setiap hari sepanjang tahun bukannya hanya mengikut musim tertentu sahaja.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bendera kebangsaan dan negeri seharusnya dikibarkan sepanjang tahun.

Beliau juga beranggapan bahawa kerajaan perlu memupuk semangat mengibarkan Jalur Gemilang di kalangan generasi muda seawal usia dipersekolahan lagi.

“Ya, saya sangat bersetuju bahawa bendera Jalur Gemilang seharusnya berkibar sepanjang masa dan bukannya bermusim sebagai tanda semangat cintakan negara.

“Itulah bendera yang melambangkan bahawa kita adalah sebuah negara yang merdeka dan bebas daripada cengkaman penjajah.

Oleh itu, peranan kerajaan jugalah untuk memupuk nilai murni ini di kalangan murid sekolah agar mereka menghormati Jalur Gemilang dan semangat patriotik yang tinggi dapat ditanam dalam diri mereka,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata demikian apabila diminta untuk mengulas mengenai cadangan untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang tahun sempena Hari Kebangsaan.

Menteri Muda Urbanisasi Datuk Talib Zulpilip berkata mengibarkan Jalur Gemilang adalah sebagai tanda cintakan negara.

“Mengibarkan Jalur Gemilang sepenjang tahun dapat dilakukan jika kita ingin berbuat demikian. Premis perniagaan atau syarikat swasta boleh melakukannya. Bukan badan kerajaan sahaja yang perlu mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang masa,” kata Talib.

Beliau membayangkan Hari Kebangsaan pasti kelihatan sangat meriah sekiranya ramai rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Penyelidikan Sains dan Bioteknologi) Dr Annuar Rapa’ee juga turut menggalakkan orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang supaya semangat patriotik dapat disemai.

“Saya bersetuju sepenuhnya. Ia menunjukkan bahawa kita sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya yang juga ADUN Nangka.

Kaunselor Jimmy De Rozario berkata, disamping mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang masa, masyarakat juga haruslah mempunyai kesedaran untuk memastikan Jalur Gemilang mereka sentiasa dalam keadaan baik.

“Jika bendera sudah kelihatan lusuh atau koyak, cepat-cepat gantikan dengan yang baharu sebagai tanda kita menghormati bendera Kebangsaan.

“Biar ia menjadi teladan buat generasi muda agar mereka mengerti betapa besarnya erti sebuah kebebasan,” katanya.

Kaunselor Ibrahim Laili juga berpendapat bahawa sebagai rakyat Malaysia, mengibarkan bendera kebangsaan tidak seharusnya menjadi ‘bermusim’.

“Kita harus berbangga dengan negara kita dan perlu menunjukkan perpaduan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, bukan hanya semasa Hari Kebangsaan tetapi sepanjang tahun supaya generasi muda akan mengikuti jejak langkah ini,” kata Ibrahim. UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA