Jalur Gemilang Dikibarkan Secara Rasmi Di Perkampungan Sukan Rio


RIO DE JANEIRO : Kombinasi tarian samba dan salsa menyambut kontinjen Malaysia pada majlis sambutan rasmi di Perkampungan Sukan bagi temasya Olimpik di sini pada Selasa.

Jalur Gemilang dinaikkan dihadapan 30 atlet, jurulatih dan pegawai dari Malaysia, selain disertai atlet dari Angola, Kanada dan Fiji yang turut berkongsi pentas untuk acara menaikkan bendera di perkampungan itu.

Pengarah Perkampungan Sukan, Mario Cilenti, mengalu-alukan ketua kontinjen negara, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid yang turut menyerahkan cenderahati, sebelum Jalur Gemilang dinaikkan bersama bendera Olimpik dengan diiringi lagu Negaraku.

Atlet negara yang diketuai pemenang dua pingat perak Olimpik, Datuk Lee Chong Wei terharu dengan kehangatan sambutan yang dilakukan pada waktu malam yang sejuk ketika mereka diarak keluar sambil diiringi kumpulan penari yang bertenaga.

Malaysia yang memburu pingat emas pertama di temasya sukan paling besar di dunia, akan mengambil bahagian dalam 11 acara di Sukan Olimpik yang akan bermula Jumaat ini.

Setakat ini, Malaysia sudah memenangi enam pingat di Sukan Olimpik sejak mula menyertainya bermula dari edisi Melbourne pada 1956, menerusi acara badminton dan serta terjun tetapi masih menunggu pingat emas sulung daripada temasya itu. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA