Rumah Terbuka Simbol Perpaduan Masyarakat



KOTA SAMARAHAN: Rumah terbuka bagi setiap perayaan di Malaysia boleh disifatkan sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang bangsa.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata, permuafakatan masyarakat khusus di Sarawak amat utuh kerana sanggup datang dari jauh untuk menghadiri rumah terbuka.

"Ikatan semangat perpaduan cukup kental apabila setiap warga tanpa mengira kaum dan agama turut bersama hadir dalam program rumah terbuka perayaan,

"Aktiviti program-program rumah terbuka, ramah tamah sebegini harus dikekalkan sampai bila-bila kerana ia tunjang kerjasama," katanya pada Majlis Ramah Raya Gawai ADUN N16 Muara Tuang malam tadi.

Sementara itu, Rubiah menjelaskan, kawasan Kota Samarahan kini semakin membangun dengan pesat hasil kepimpinan Barisan Nasional (BN) dari dahulu hingga sekarang.

"Legasi kepimpinan terdahulu yang telah dibawa oleh Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan lain-lain telah mengubah lanskap pembangunan Kota Samarahan,

"Maka seharusnya rakyat Kota Samarahan mengekalkan Barisan Nasional di sini agar pembangunan yang lebih drastik akan dilaksanakan dari masa ke semasa oleh wakil rakyat DUN Muara Tuang Dato' Idris Buang dan rakyat akan merasai manfaat daripada pembangunan tersebut," tambahnya.

Beliau berucap pada Majlis Ramah Raya dan Gawai di Dewan Suarah Samarahan semalam yang turut dihadiri oleh Dato' Idris Buang, Setiausaha Politik Ketua Menteri Buang Bolhassan dan pemimpin masyaraka sekitar Kota Samarahan. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA