Israel lulus undang-undang penjarakan kanak-kanak

TEl AVIV: Ahli perundangan Israel meluluskan undang-undang memenjarakan kanak-kanak semuda 12 tahun yang disabitkan dengan 'kesalahan pengganas' berikutan serangan dilancarkan penduduk muda Palestin.

"Rang Undang-Undang Belia yang akan membolehkan pihak berkuasa memenjarakan golongan bawah umur yang disabitkan bersalah melakukan jenayah serius seperti membunuh, cubaan membunuh atau membunuh tanpa niat walaupun pelaku berusia di bawah 14 tahun, sudah lulus bacaan kedua dan ketiga malam tadi," menurut satu kenyataan Parlimen hari ini.

Kenyataan dalam bahasa Inggeris itu menambah tahap serius serangan sejak beberapa bulan ini "menuntut pendekatan lebih agresif, termasuk terhadap golongan kanak-kanak.

"Kenyataan itu memetik ahli perundangan Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netayangu, Anat Berko, sebagai berkata "bagi yang dibunuh dengan tikaman di jantung, mereka tidak kisah sama ada belia itu berusia 12 atau 15 tahun."

Keganasan di wilayah Palestin dan Israel sejak Oktober mengorbankan sekurang-kurangnya 219 penduduk Palestin dan 34 Israel.

Kebanyakan penduduk Palestin yang dibunuh didakwa membawa pisau, senjata atau melakukan serangan dengan merempuh kenderaan. Kebanyakan mangsa masih muda, termasuk remaja.

Sementara belia lain ditembak mati ketika bantahan dan pertempuran dengan pasukan keselamatan. Menteri Kehakiman Ayelet Shaked menyokong rang undang-undang itu apabila dibentangkan kepada jawatankuasa menteri tahun lalu. - Agensi/BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA