“Inovasi Boleh Mencipta Kekayaan” - Nancy


SIMUNJAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Nancy Shukri berkata inovasi boleh mencipta kekayaan dan ramai rakyat biasa yang telah mencipta nama dalam bidang tersebut.

“Banyak kisah-kisah kejayaan yang boleh saya kongsikan bersama sebagai inspirasi dan motivasi kepada seluruh rakyat,” katanya.

Menurutnya, seorang jururawat dari Perlis mencipta “Angle Hook”, penyangkuk logam yang boleh digantung dari rel langsir di wad hospital menggantikan ‘drip stand’ yang memakan ruang sebelah katil pesakit.

Tambahnya, penyangkuk ini ditambahbaik dan digunakan di beberapa hospital di Perlis dan Kedah.

“Satu lagi contoh ciptaan inovasi ialah sejenis herba yang dimakan oleh masyarakat Dusun di Sabah, iaitu tuhau merupakan inovasi daripada seorang suri rumah, menjadikannya sebagai satu makanan yang menyelerakan dan memberi pulangan lumayan sehingga RM12,000 sebulan kepada beliau,” ujarnya.

Beliau berkata, melalui contoh-contoh tersebut, rakyat biasa boleh menjadi pelopor dalam menghasilkan inovasi berasaskan penyelesaian masalah rakyat yang dihadapi seharian.

Nancy turut memaklumkan bahawa Agensi Inovasi Malaysia (AIM) yang kini di bawah seliaannya dan merupakan komitmen Kerajaan dalam usaha pembentukan masyarakat yang kreatif dan inovatif.

“Oleh yang demikian, Malaysia bertuah, kerana mempunyai Kerajaan yang tidak memandang ringan akan hak-hak wanita malah, terus memberi pelbagai bantuan, inisiatif dan kemudahan yang boleh menaikkan taraf hidup dan martabat golongan wanita,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan memperuntukan sebanyak RM100 juta kepada AIM dalam Bajet 2016 bagi meningkatkan kesedaran merakyatkan terhadap pentingnya inovasi.

Nancy menegaskan agar masyarakat sentiasa berfikiran jauh ke hadapan dan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar.

“Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang hanya berserah sahaja kepada takdir atau nasib, sebaliknya, jadilah sebagai masyarakat yang mempunyai matlamat hidup untuk terus maju dan bersaing dalam dunia yang serba kompetitif pada masa akan datang,” sarannya. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA