“Ini ‘wall’ Aku, Suka Hati Akulah Nak Tulis Apa Pun"


Kuala Lumpur: “Ini ‘wall’ aku, suka hati akulah nak tulis apa pun. Kau peduli apa?”

Ayat sebegini biasa digunakan sebagai alasan dan memberi justifikasi perbuatan seseorang yang gemar menjadikan laman sosial sewenang-wenangnya namun ramai tidak sedar meskipun laman sosial memberikan ‘ruang’ kepada pengguna menyuarakan perasaan, pendapat atau bangkangan namun ia juga tertakluk kepada undang-undang.

Justeru, kematangan pengguna mengendalikan media sosial amat diperlukan dalam mengguna pakai kemudahan yang ada memastikan status, komen atau perkongsian media yang dimuat naik tidak mendatangkan masalah kepada diri sendiri nanti.

Mungkin keliru mengenai ‘kebebasan’ meluahkan pendapat dan ideologi masing-masing, ada yang tersilap langkah lalu melakukan kesalahan tanpa sedar dan boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998).

Sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima dan menyiasat 62 aduan kesalahan penggunaan media sosial, berbanding hanya 38 kes tahun lalu.

Ketua Pegawai, Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata 48 serbuan dijalankan tahun ini dan empat kes didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 233 AKM 1998 manakala empat lagi kes masih dibicarakan selain tawaran kompaun kepada dua individu.

Aduan kandungan jelik melonjak daripada 15 kes pada 2015 kepada 36 kes tahun ini manakala bersifat lucah menurun daripada 38 kes kepada 29 kes.

Menurutnya, denda paling tinggi tahun ini sebanyak RM20,000 mengikut Seksyen 233(s)(a) AKM 1998 kerana penggunaan karikatur pelajar muslimah bersifat lucah untuk tujuan komersial.

“Kebanyakan kes salah guna media sosial yang disiasat SKMM berkaitan kesalahan menghantar dan memuat naik kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau bersifat jelik yang diterima melalui pelbagai sumber, termasuk jabatan dalaman SKMM dan agensi penguatkuasaan seperti polis,” katanya.

Menurut Zulkarnain, bidang kuasa SKMM meliputi izin mencari, menggeledah dan merampas alatan atau bahan berkaitan kes disiasat.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan tehadap aktiviti salah guna media sosial bukan sesuatu yang janggal kerana ia juga diamalkan negara lain, termasuk United Kingdom, bertujuan menggalakkan warga Malaysia menggunakan dunia siber untuk bersosial dan berniaga dengan matang. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA