Indonesia tenggelamkan 60 bot nelayan asing

JAKARTA – Berpuluh-puluh bot a­sing yang ditahan pihak berkuasa Indonesia ditenggelamkan sempena Hari Kemerdekaan, kata seorang pegawai semalam ketika Presiden Joko Widodo bertekad membanteras aktiviti nelayan asing yang ‘mencuri’ di perairan negara itu.

Sejak dipilih sebagai Presiden, Joko telah memperhebatkan kempen untuk mempertahankan kedaulatan maritim Indonesia dengan menenggelam dan meletupkan berpuluh-puluh bot nelayan asing.

“Hari ini (semalam) kami menawarkan 60 buah bot untuk ditenggelamkan di lapan lokasi,” kata pegawai Kementerian Perikanan, Mas Achmad Santosa.

“Ini merupakan hadiah untuk Indonesia dan me­nunjukkan kami konsisten dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Namun, tidak seperti tahun sebelumnya di mana acara menenggelamkan bot-bot itu disiarkan di te­levisyen Indonesia, acara semalam tidak membenarkan kehadiran media.

Jakarta juga enggan mendedahkan negara asal bot-bot berkenaan.

Sebelum ini, Indonesia telah menenggelamkan bot nelayan dari beberapa negara termasuk China, Vietnam dan Filipina.

Tindakan Jakarta itu mencetuskan kemarahan Beijing.

Ketegangan antara Jakarta dan Beijing mening­kat sejak beberapa bulan lalu di Kepulauan Natuna milik Indonesia selepas bot nelayan China bertempur dengan kapal pihak berkuasa Indonesia.

Situasi itu mendorong Joko melawat Kepulauan Natuna di atas sebuah kapal perang Indonesia pada Jun lalu.

Kelmarin, beliau ber­ikrar akan mempertahankan setiap inci tanah dan perairan Indonesia daripada diceroboh. – AFP


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA