India laksana GST 17 peratus

KUALA LUMPUR 13 Ogos – India akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar 17 hingga 18 peratus mulai 1 April tahun depan.

Portal CCH Daily (https://www.cchdaily.co.uk) melaporkan, langkah itu akan memperkemaskan lagi sistem percukaian di India agar bersifat lebih menyeluruh.

Menurut CCH Daily, pelaksanaan GST di negara berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu pusat (CGST) dan negeri (SGST).

“GST lebih mudah diurus oleh kerajaan dan akan meningkatkan pematuhan cukai.

“Ia juga akan menambah hasil kerajaan memandangkan sistem baharu ini berupaya mengurangkan kos kutipan cukai,” lapor portal berkenaan baru-baru ini.

Kadar GST yang bakal diper­kenalkan India adalah jauh lebih tinggi daripada kadar enam peratus yang digunakan di Malaysia sejak sistem percukaian yang lebih efisien itu dilaksanakan mulai 1 April tahun lalu.

Berbeza dengan Malaysia, tidak banyak barangan serta perkhidmatan yang dikecualikan atau dikenakan kadar sifar di bawah sistem GST di India.

Beberapa negara Asia Barat seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Oman, Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Bahrain akan me­laksanakan GST pada kadar lima peratus mulai 1 Januari 2018.

Pelaksanaan GST di negara-negara tersebut sekali gus menafikan dakwaan kononnya sistem percukaian seperti GST adalah tidak selaras dengan hukum Islam. - Utusan

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA