Hilang Fokus Punca Sarawak Tewas

Foto Bernama

KUCHING: Hilang fokus membawa padah kepada Sarawak menyaksikan skuad itu tewas 0-2 di tangan Pulau Pinang dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya kelmarin.

Menurut Ketua Jurulatih David Usop, mental pemainnya jelas lemah berpunca daripada keletihan akibat jadual perlawanan yang padat.

“Beberapa pemain kita tidak mempunyai mental yang kuat apabila berdepan jadual yang padat. Mereka juga kurang cergas.

“Ia menjadi punca taktikal kita tidak menjadi meskipun pemain telah berusaha dengan gigih,” ujar David.

Beliau bagaimanapun enggan menjadikan situasi itu sebagai alasan kekalahan Sarawak sambil memuji strategi dipasang oleh Pulau Pinang dalam perlawanan itu.

Tegasnya, skuad kendalian Nenad Bacina itu bermain dengan lebih baik daripada aspek serangan mahupun di ” “ bahagian pertahanan.

“Pertahanan kita agak longgar dan ia dimanfaat sepenuhnya oleh penyerang Pulau Pinang.

Mereka mempamerkan corak permainan yang lebih baik berbanding kita dan berhak untuk menang,” tambah David.

Muhammad Faizat Mohd Ghazali meletakkan skuad Pulau Mutiara di hadapan seawal minit ke-13 selepas meledak bola hantaran rakannya di hadapan gawang Sarawak.

Sarawak enggan mengalah dan melancar serangan balas dalam usaha mencari gol penyamaan.

Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-18 namun sepakan leret Gilmar Jose Da Silva Filho sedikit tersasar dari gawang pelawat.

Berselang seminit kemudian, percubaan pemain sayap lincah Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri hampir menewaskan Mohd Iqbal Suhimi selepas melakukan larian solo.

Babak kedua menyaksikan Sarawak bermula garang sebaik wisel dibunyikan dan memperolehi peluang terbaik pada minit ke-46 namun sekali lagi hampa selepas Hairol Mokhtar gagal menyambar bola hantaran silang Syahrul Azwari.

Pada minit ke-67 dan 81, pengadil Wan Mohamad Tarmizi membatalkan dua jaringan Kumaahran Sathasivam selepas pemain itu terperangkap ofsaid.

Usaha berterusan pemain itu bagaimanapun berhasil pada minit 82 apabila permainan satu dua dengan rakannya berjaya mengelirukan pertahanan Sarawak sebelum dia meledak gol kedua Pulau Pinang.

Sarawak kini jatuh ke tangga ke-10 di belakang Pulau Pinang dengan sama-sama berkongsi 18 mata. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA